Miera Liyana couple dengan anak menteri Ahmad Maslan



PELAKON Miera Liyana dilihat semakin menyepi akhir-akhir ini. Bagaimanapun namanya kembali menjadi sebutan setelah dikatakan sedang menjalani hubungan dengan seorang anak menteri.

Tidak menafikan perkara itu, Miera atau nama sebenarnya Miera Leyana Kasmi, 22, berkata, hubungan itu sebenarnya tidak lebih daripada sekadar teman biasa.

"Bagi saya kami berkawan sahaja, saya kenal dia apabila kerja sama-sama buat perniagaan dengan keluarga dan dia juga ada syarikat produksi sendiri.

"Lagipun, kami masih dalam tempoh mengenali satu sama lain. Disebabkan saya pernah kecewa sebelum ini, jadi saya mahu berkawan terlebih dahulu dengan mana-mana lelaki.

"Tidak terfikir lagi untuk lebih serius dengannya. Biarlah kami berkawan dulu," katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis A Night of Dignity: Diandra Comeback baru-baru ini.

Miera yang sebelum ini pernah putus cinta dengan aktor Shah Jaszle, menegaskan pada usia yang masih muda ini dia memilih untuk fokus pada kerjaya lakonannya.

"Di usia 22 tahun ini, banyak perkara lagi saya perlu belajar. Soal cinta walaupun klise, saya lebih selesa berkawan dahulu tanpa ada sebarang ikatan," katanya.

Berkongsi pula mengenai penglibatannya dalam drama bersiri Memori Cinta Suraya yang mengambil tempoh agak lama, Miera berkata, ia satu pengalaman baharu kepadanya.

"Walaupun terpaksa menolak tawaran lain saya tetap merasakan drama ini berbaloi dan saya sangat komited untuk meneruskannya sehingga selesai.

"Pihak produksi lain juga faham dengan komitmen saya yang masih terikat dengan drama tersebut. Apabila sudah habis penggambaran, pastinya saya tidak keberatan untuk terima tawaran lain," katanya.

Ulasan