Hebat Anak Ini Bantu Sara Keluarga Walaupun OKU



“Kak nak beli kuih? Sebungkus RM2 je kak” ringan mulutnya bertanya sambil mengetuk tingkap kereta orang ramai di kawasan parkir sekitar bandar Kuala Terengganu sambil menunjukkan sebuah bakul berisi pelbagai jenis kuih-muih yang dijualnya.

Itulah rutin seorang kanak-kanak lelaki yang sering dilihat berjalan kaki dan kadang-kadang berbasikal di daerah ini, termasuk di tempat awam seperti tempat meletak kenderaan dan juga taman rekreasi sambil menjual kuih-muih.

Tindakan kanak-kanak itu juga turut menjadi viral di laman media sosial sehingga menyentuh hati kebanyakan netizen yang meninggalkan komen positif pada gambar yang dihantar berikutan sikapnya yang sanggup membantu keluarga, walaupun baru berusia 12 tahun.

Berdasarkan maklumat berkenaan, Sinar Harian cuba menjejaki kanak-kanak itu dan akhirnya dapat berjumpa dengannya berhampiran Masjid Zainal Abidin, di sini, semalam.

Ketika ditemui, kanak-kanak terbabit sedang menjual kuih kepada pelanggannya di kawasan parkir sebelum beralih dari sebuah kenderaan ke kenderaan lain pula.

Sinar Harian cuba menghampiri Muhammad Afifi Syamil Yusmani dan ternyata kanak-kanak OKU lembam itu menyimpan sejarah dalam hidupnya, sebelum membuat keputusan untuk menjaja.

Ayah terpaksa berhenti kerja

Afifi berkata, dia mula menjaja kuih sejak 2011 lagi untuk menambah pendapatan keluarga kerana ayahnya, Yusmani Yusof, 36, terpaksa berhenti bekerja sebagai pemandu lori syarikat minuman kerana menghidapi penyakit tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi dalam badan.

“Ayah tak boleh kerja berat sebab ayah sakit, mak pula kena jaga adik (6 bulan) kat rumah. Sayalah yang kena jual kuih ni semua lagipun saya memang suka berniaga, seronok jumpa ramai kawan, mereka semua baik dengan saya.

“Selepas habis jual kuih pada waktu pagi, saya akan keluar semula pada sebelah petang untuk menjual minyak wangi di Taman Rekreasi Batu Burok dan Lagun dengan menaiki basikal,” ceritanya yang tinggal di Perumahan Kondo Rakyat Kuala Ibai, di sini.

Ditanya mengenai persekolahannya, Afifi berkata, dia juga bersekolah macam kanak-kanak lain dan akan menjaja selepas selesai waktu persekolahan pada sebelah petang (kelas Kafa) kecuali cuti sekolah atau hujung minggu, dia akan keluar menjaja pada waktu pagi.

Tak pernah paksa Afifi menjaja kuih

Sementara itu, ibunya, Junaidah Muda, 35, berkata, dia tidak pernah memaksa anak ketiga daripada enam beradik itu untuk menjaja seperti yang dilakukannya sekarang.

“Dia memang suka buat macam tu (menjaja), nak halang sangat pun tak boleh sebab dia suka. Biasanya duit dia berniaga saya akan simpan RM50 sehari untuk kecemasan.

“Untuk belanja rumah, suami dah dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan, lagipun rumah kami tinggal tak perlu bayar sewa sebab kakak ipar bagi tumpang.

“Kalau nak dikira memang tak cukup tetapi kami bersyukur dengan apa yang ada dan kena pandai berjimat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Junaidah yang mempunyai lima anak bersekolah berkata, dia terpaksa berjimat untuk memastikan keperluan keluarga cukup setiap bulan.

Disebabkan kesempitan hidup itu juga, Junaidah mengambil keputusan untuk membuat kuih yang dijual oleh Afifi, tetapi sejak mempunyai anak kecil berusia enam bulan, dia hanya membelinya dari pasar berhampiran sebelum dijual.

“Dapatlah sedikit untung, itu sudah memadai bagi kami tetapi memikirkan Afifi, hati saya tetap bimbang keselamatannya yang keluar menjaja seorang diri tetapi saya selalu pesan supaya dia jaga diri sebab dia anak istimewa (lembam).

“Walaupun dia mahu berniaga, pelajaran dia saya tak pernah abaikan. Begitu juga anak-anak yang lain biarpun yuran sering tertunggak tak apa sebab cikgu mereka faham keadaan keluarga saya,” kata Junaidah yang turut tersenarai sebagai peserta e-Kasih.

Dalam pada itu, Junaidah berkata, dia pernah beberapa kali memohon tapak untuk berniaga tetapi tidak berjaya dengan alasan tiada kekosongan buat masa ini.

“Saya memang niat nak berniaga di satu tapak sahaja dan tak perlu lagi menjaja kerana kesiankan Afifi tetapi tiada tempat kosong yang sesuai. Buat masa ini terpaksa menjaja dulu sebelum mendapat gerai sesuai,” jelasnya.

Ulasan