Ini Punca Populariti Zizan Melingkup

MENINGGALKAN syarikat miliknya sendiri dan berada di bawah pihak pengurusan Astro, secara tiba-tiba pula, pasti ada yang pelik.

Namun bagi Zizan Razak soal itu tidak seharusnya ditelah dengan berbagai cerita memandangkan dia sudah bersedia mahu mencuba sesuatu yang berbeza dalam kariernya kini. Menjelaskan dia masih mempunyai pegangan 70 peratus saham dalam syarikat Wirefame Sdn Bhd, Zizan tanpa berselindung memberitahu dia masih mempunyai tanggungjawab dalam syarikat tersebut.
Tidak menolak Astro mempunyai sistem pengurusan terbaik, itu tidak bermakna ada sekatan dalam kerjayanya kini. Masih bebas untuk berada dalam mana-mana stesen televisyen lain, jelas Zizan semuanya kini berpandukan rezeki.
“Kalau ikutkan memang saya sayang untuk tinggalkan Wirefame. Itu syarikat saya sendiri, tetapi dalam soal kerjaya saya perlu berani membuat keputusan.
“Walaupun berada bersama Astro saya tidak lihat kerjaya saya dalam sekatan, saya masih bebas untuk bekerjasama dengan mana-mana stesen televisyen lain. Sebab itu adalah salah satu syarat yang menyebabkan saya bersetuju berada di bawah mereka," katanya.
Melihatkan dia sendiri sudah diuruskan Astro kini, apakah lagi fungsi Zizan dalam Wirefame. Menjelaskan kedudukan tersebut jelas Zizan sehingga kini dia masih pemegang saham terbesar. Bagaimanapun mahu menjadi lebih realistik, khabar Zizan kepada Hits ada kemungkinan dia akan menjualkan sahamnya dalam syarikat tersebut.
“Saya masih ada kena mengena dengan Wirefame, sebab saya ada 70 peratus saham dalam syarikat tersebut. Soal menjual saham syarikat memang ada saya fikirkan. Tetapi masih dalam pertimbangan kita tengok nanti macam mana," katanya.
Masalah dengan rakan kongsi
Meninggalkan syarikat itu ketika nama Wirefame cukup dikenali kini, ada nada bangga Zizan melihat hasil usahanya. Malah antara artis yang diuruskan syarikatnya itu bukan nama asing dalam industri. Ditanya sama ada kesemua mereka merelakan Wirefame tanpa dirinya, Zizan kurang pasti.
“Memang saya bangga melihat Wirefame, tetapi perlu diingat ini bukan kerja saya seorang. Kesemua mereka yang berada dalam Wirefame juga penyumbang terbesar kejayaan yang diraih syarikat ini.
“Saya tidak tahu, sebab saya belum bertemu dengan mereka lagi. Tetapi saya tidak rasa ada masalah," katanya.
Kembali kepada persoalan mengapa dia meninggalkan Wirefame, memang ada kisah panas yang mengatakan Zizan sebenarnya mempunyai masalah yang dicetuskan oleh rakan kongsinya. Menafikan perkara itu, jelas Zizan sehingga kini hubungan mereka masih baik.
“Seperti yang saya katakan tadi, kejayaan syarikat ini bergantung kepada usaha kami semua. Tiada sebab untuk saya mempunyai masalah dengan rakan kongsi itu. Sehingga kini hubungan kami masih baik," katanya.
Bagaimanapun jelas Zizan, Wirefame hanya satu permulaan sewaktu dia mahu menapak. Malah dia kini sudah merangka sesuatu yang baru buat dirinya. Belum bersedia mahu berkongsi, buat masa ini dia mahu memberi tumpuan buat kerjayanya di Astro.
“Mungkin saya akan wujudkan sebuah lagi syarikat, dalam bidang apa pula masih belum pasti. Kita tunggu sahaja nanti. Buat masa ini saya hanya mahu berikan tumpuan buat karier saya bersama Astro," katanya.


Ulasan