Ringgo Arrow Masuk Kilauan Emas Musim Ke 4

Seramai 13 peserta bakal berentap dalam program realiti Kilauan Emas musim keempat yang bakal berlangsung  di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di sini pada setiap Rabu bermula 23 April ini. 

Ia akan disiarkan secara langsung menerusi saluran di Astro Prima (105).  
Pengurus Saluran Astro Prima, Namanzee Harris berkata, peserta kali ini lebih bersedia dan memahami konsep program tersebut  selepas tiga musim bersiaran. 
"Apa yang saya lihat kesemua peserta kali ini memang sudah bersedia daripada segi persembahan dan kebanyakan mereka yang datang uji bakat sudah tahu apa yang kami mahukan. 
"Peserta yang terpilih ini mempunyai kekuatan dan personaliti berbeza yang mana saya yakin dapat memberi persaingan dan mewarnai pertandingan ini," katanya pada sidang media mengumumkan barisan peserta itu di Saloma Bistro, di sini, Selasa. Ringgo yang turut terpilih sebagai peserta program Kilauan Emas musim keempat  mengakui terpaksa membuang segala perasaan malu untuk memulakan semula kerjaya nyanyiannya.

Katanya, penyertaan dia dalam program tersebut juga mendapat beberapa tentangan daripada rakan-rakan artis seangkatan.

"Ramai yang beri pandangan negatif dan tidak benarkan saya menyertai program ini kerana sudah mempunyai tahap tertentu dalam industri.

"Namun saya pekakkan sahaja telinga dan teruskan niat saya untuk mencuba nasib sekali lagi dalam industri muzik tanah air," katanya.

Antara artis yang pernah menyertai pertandingan Kilauan Emas ialah bekas pesertaSinaran Pasport Kegemilangan  (TV3) iaitu Alina Hassan dan juga Mama Rina (AF6).

Konsert Kilauan Emas akan bersiaran secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di sini pada setiap Rabu, pukul 9.30 malam di Astro Prima (105).

Ulasan