Along Eyzendy disuruh tidak komen isu ambil dadah

Selepas berita mengenai seorang pelakon filem "Khurafat" ditahan di sebuah kelab malam yang menawarkan khidmat seks disahkan positif mengambil dadah jenis ganja pada 20 April lalu, nama Along Eyzendy telah dikaitkan sebagai individu tersebut.

Mengakui tahu tentang perkara tersebut, Along bagaimanapun telah dinasihatkan agar tidak memberi sebarang komen mengenai isu ini.

"Saya tahu mengenai hal ini. Buat masa ini saya dinasihatkan oleh pihak pengurusan untuk tidak memberikan sebarang komen mengenai perkara ini," ujarnya seperti dipetik daripada laporan sebuah portal hiburan tempatan.

Along turut memberitahu satu sidang media khas bakal diadakan untuk memberi penjelasan mengenai perkara itu.

Sementara itu Along yang bernaung di bawah syarikat pengurusan MIG ini berkata, kontroversi tersebut tidak menjejaskan karier seninya, malah dia tidak kisah sekiranya peminat ingin mempercayai berita yang tersebar.

"Setakat ini tidak lagi terpalit dengan kerjaya saya. Allah lebih mengetahui siapa saya. Apa yang pasti, saya akan beri komen selepas semuanya selesai," akhirinya.


Ulasan