Filem RoboCop (2014) Free Download Full Movie

RoboCop (2014) ialah sebuah filem aksi fiksyen sains yang dibikin semula atau ‘reboot’ berdasarkan kisah filem asalnya RoboCop (1987). Kali ini ia diarahkan oleh José Padilha yang terkenal dengan filem-filem aksi terbitan negara
Brazil iaitu Elite Squad (2007) dan Elite Squad: The Enemy Within (2010). Manakala watak utama Alex Murphy/RoboCop dilakonkan oleh Joel Kinnaman, seorang bintang filem kelahiran Sweden yang semakin popular selepas lakonan mantapnya dalam filem Easy Money (2010).
Filem kali ini masih mengekalkan beberapa plot asas sahaja dari filem 1987 dahulu mengenai syarikat OmniCorp yang mencipta ‘cyborg’ iaitu kacukan robot dan manusia yang dinamakan ‘RoboCop’. Di samping itu, hanya nama watak Alex Murphy yang dikekalkan, manakala nama watak rakan sejawatan polisnya ditukar dari Anne Lewis, wanita kulit putih kepada Jack Lewis, lelaki kulit hitam. Tidak boleh tidak, filem ini sudah tentu akan dibandingkan dengan filem asalnya. Namun begitu, saya berpendapat bahawa filem kali ini mampu berdikari sendiri sebagai sebuah filem aksi yang bagus.Kisahnya bermula dalam sebuah rancangan bual bicara televisyen yang dihoskan oleh Patrick ‘Pat’ Novak (Samuel L. Jackson) yang memberikan latar di tahun 2028 dimana syarikat OmniCorp telah berjaya mencipta robot Enforcement Droid Series 29 (ED-29) untuk mengenalpasti dan menangkap pengganas di Tehran. Pat Novak menyoalkan kenapa polisi kerajaan meluluskan teknologi robot perang di luar Amerika sahaja hanya kerana risaukan sesebuah robot tanpa perasaan akan membahayakan keselamatan orang awam.
Persoalan itulah yang dimanipulasikan oleh CEO OmniCorp, Raymond Sellars (Michael Keaton) yang mencadangkan kepada ketua saintis di syarikatnya iaitu Dr. Dennett Norton (Gary Oldman) untuk mencipta ‘RoboCop’. Tetapi waktu itu tiada calon manusia yang sesuai untuk dijadikan ujikaji.Sementara itu di balai polis Detroit, Alex Murphy sedang membuat laporan kepada ketuanya Karen Dean (Marianne Jean-Baptiste) dengan mengatakan bahawa ada konspirasi dalaman pasukan polis dengan penjenayah Antoine Vallon (Patrick Garrow) sehingga menyebabkan rakan setugasnya Jack Lewis (Michael K. Williams) tercedera semasa dalam satu misi polis. Dek kerana kelantangan kritikan oleh Murphy, dia telah disabotaj melalui cubaan dibunuh dengan meletupkan kereta miliknya. Murphy cedera parah dan tinggal nyawa-nyawa ikan.
Setelah mendapat restu dan kebenaran dari isteri Murphy, lantas OmniCorp mengambil kesempatan untuk menggunakan sebahagian anggota tubuh badan Murphy yang masih berfungsi bagi tujuan merekacipta ‘RoboCop’ yang pertama. Filem ini dikembangkan dengan pemaparan langkah-langkah gabungan biologi Murphy yang dilengkapkan dengan sebahagian besar anggota robot bersenjata moden oleh Dr. Dennett Norton dan pembantunya, Jae Kim (Aimee Garcia).
Di samping itu, filem RoboCop kali ini menyorot ke dalam penceritaan keluarga Murphy iaitu isterinya Clara Murphy (Abbie Cornish) dan anaknya David Murphy (John Paul Ruttan) untuk mencetuskan konflik perebutan pemilikan Murphy setelah dijadikan RoboCop di antara keluarganya dengan OmniCorp.RoboCop (2014) masih mengekalkan banyak ranting plot berbaur politik dan ketamakan kekayaan korporat OmniCorp seperti RoboCop (1987) walaupun tidak menekap sepenuhnya. Raymond Sellars digambarkan sebagai CEO yang lebih mementingkan keuntungan maksima syarikatnya dengan anggapan bahawa Murphy/RoboCop hanyalah komoditi atau produk berjenama sahaja tanpa perlu dipedulikan asal kemanusiaannya. Namun begitu, fahaman Raymond ditentang oleh pekerjanya sendiri, Dr. Dennett Norton.
Dalam filem kali ini, bukan OmniCorp yang bersekongkol dengan penjenayah, sebaliknya dalam pasukan polis Detroit yang ada pengkhianat. Sifat dengki-mendengki juga berlaku dalam OmniCorp sendiri dimana watak Rick Mattox (Jackie Earle Haley) sentiasa memandang rendah kemampuan RoboCop berbanding robot-robot peliharaannya.
Filem ini juga begitu kuat sindiran propaganda Amerika sebagai ‘hero dunia’ kerana kononnya dengan penciptaan robot-robot ED-29 mampu menjimatkan nyawa askarnya untuk berjuang di medan perang untuk mengamankan seluruh dunia. Tetapi betapa hipokritnya ahli politik Senator Dreyfuss (Zach Grenier) menentang penggunaan ED-29 di tanahair mereka sendiri. Ucapan penutup filem ini oleh Pat Novac dalam program tv ‘The Novak Element’ menyerlahkan betapa angkuhnya OmniCorp/Amerika dengan kehebatan teknologi robot itu.Kelebihan pembikinan semula filem RoboCop ini ialah bantuan teknologi imej janaan komputer (CGI) dan rekaan kostumnya yang dimodenkan serta berwarna hitam untuk kelihatan lebih hebat. Walaupun ciri-ciri kostum RoboCop mirip gabungan Batman Begins (2005) dan kostum watak Snake Eyes dari filem G.I. Joe: Retaliation (2013) tetapi ia masih kelihatan menarik serta pasti menjadi kegilaan kanak-kanak untuk membeli patungnya di pasaraya nanti. Oh jangan lupa, ia juga dilengkapi dengan topi keledar dan motorsikal yang lebih ‘stylish’ ya!
RoboCop ialah filem francais yang sudah sedia ada popular. Target utama sudah tentu peminat tegarnya serta pasaran permainan video yang menyusul bersama filemnya. Pengarahan sekuen aksi pantas dengan tangkapan kamera jarak dekat dan bergegar menjadi pilihan pengarahnya José Padilha untuk memberikan kepuasan klimak kepada penonton seolah-olah berada dalam situasi genting bersama Murphy/RoboCop. Babak-babak pertempuran taktikal berkomputer sememangnya dalam ‘mode’ visual seperti permainan video yang mengujakan, cuma penonton tidak memegang alat kawalan permainan video sahaja.Dari sudut lakonan, filem ini berbaloi melaburkan bajetnya untuk dibarisi pelakon-pelakon yang bagus seperti Samuel L. Jackson, Michael Keaton dan Gary Oldman. Watak utamanya, Alex Murphy oleh Joel Kinnaman sebahagian besarnya seolah terperangkap dalam kostum RoboCop yang ketat, menyebabkan dia lebih bergantung kepada ekpresi wajah yang terhad. Itu pun seringkali mukanya ditutup oleh visor topi keledar!

KESIMPULAN

RoboCop (2014) bukan filem adiwira yang terhasil dari komik, tetapi ia contoh filem Hollywood yang cuba mencadangkan dunia fiksyen sains yang mungkin bakal jadi kenyataan di masa akan datang. Walaupun ia disaluti cerita pertempuran robot besi keras berteknologi tinggi, namun ia masih ada kisah sisi lembut kemanusiaan di sebaliknya.

Ulasan