Ebby Yus Tersenarai Top 5 ABPBH 2013

Pelakon dan pelawak, Ebby Yus, mengakui berada dalam keadaan terpinga-pinga sebaik saja beliau menerima panggilan daripada wakil penganjur Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 untuk hadir ke majlis pengumuman senarai Top 5 acara itu, Rabu lalu.

Beliau nyata tidak dapat meneka alasan dirinya diundang ke majlis terbabit. Pada tanggapannya, mungkin penganjur menjemputnya sekadar bagi memeriahkan acara yang berlangsung di The Royale Chulan Kuala Lumpur. Saat melangkah masuk ke lokasi acara yang indah berhiaskan tumbuhan menghijau, dan dipenuhi barisan bintang popular, artis komedi berusia 48 tahun itu 
kelihatan agak kekok. Beliau memerlukan sedikit waktu untuk memahami perkara sebenar yang bakal dialaminya 
pada majlis sidang media berkenaan. 


Walaupun ada menerima ucapan tahniah terlebih awal daripada rakan artis dan media ketika tiba ke majlis terbabit, sebelum pengumuman rasmi dibuat, Ebby Yus mengakui masih keliru sehinggalah namanya turut dipaparkan sebagai finalis ABPBH 2013 dalam kategori Artis Komedi Lelaki Popular.

“Terus-terang saya sangat kekok berada pada dalam majlis pengumuman Top 5 ABPBH 2013 ini. Kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada anggota jawatankuasa ABPBH 2013 sebelum ini tidak menerangkan secara jelas peranan saya pada majlis terbabit. Mereka hanya meminta saya hadir saja.

“Pada mulanya saya menyangka mereka tersalah hantar pesanan itu, lalu saya terus menghubungi nombor terbabit untuk mendapatkan pengesahan,” katanya yang diserang pelbagai persoalan dalam fikirannya sejak menerima undangan berkenaan.

Ulasan