Gelombang kedua Banjir : Amaran hujan lebat di Pantai Timur dan Johor bermula Rabu

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Hujan lebat peringkat kuning dijangka melanda kawasan Pantai Timur dan selatan tanah air selama tiga hari
bermula Rabu sehingga Jumaat ini.
Pengarah Pusat Ramalan Jabatan Meteorologi, Muhamad Helmi Abdullah berkata, sepanjang tempoh itu, hujan sekejap-sekejap, kadangkala lebat dari semasa ke semasa akan berlaku di Terenganu, Pahang dan Johor.
"Sebanyak tujuh daerah akan terlibat iaitu Dungun dan Kemaman (Terengganu), Kuantan, Pekan dan Rompin (Pahang) dan Segamat serta Mersing (Johor).
"Keadaan cuaca ini adalah kesan daripada iklim semula jadi dunia yang diramalkan berlaku setiap kali menjelang akhir tahun sehingga suku pertama tahun depan," katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Dalam pada itu, Helmi berkata, beberapa negeri juga turut mengalami fenomena air pasang besar berikutan kedudukan matahari, bulan dan bumi yang hampir sejajar.
"Kami di Jabatan Meteorologi akan sentiasa mengemaskini maklumat serta memantau keadaan cuaca manakala orang ramai perlu bersedia dan mengambil langkah berjaga-jaga.
"Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah," katanya. - UTUSAN ONLINE

Ulasan