Aril AF3 tamat zaman bujang hari ini

KOTA BHARU: Hanya enam bulan perkenalan, naib juara AF3 yang kini bertugas penyampai radio Era, Khairil Azam Pilus (Arik), 28, sah bergelar suami kepada Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin (Puteri), 27.

Pasangan sama cantik sama padan itu selamat diijabkabulkan oleh Imam Mukim Padang Enggang, Abdul Halim Mat Isa hanya dengan sekali lafaz di kediaman pengantin perempuan di Kampung Padang Enggang, Pasir Hor, kira-kira jam 3.20 petang tadi. Sebaik lafaz nikah diucapkan Aril, kedua-dua belah keluarga termasuk teman-teman bertepukan meraikan pengantin. 
Pasangan ini mula berkenalan pada 25 Mei lalu dan selepas tiga bulan menjalinkan hubungan, Aril melamar Puteri yang bertugas sebagai pramugari Saudi Airlines sebagai isterinya.Lamaran dibuat Aril ketika di dalam kereta sewaktu mereka keluar bersama.
Pengantin lelaki menghadiahkan mas kahwin dan wang hantaran berbentuk 'bank draft' bernilai RM15,000 beserta sembilan dulang, jumlah yang sama dibalas oleh pihak pengantin perempuan.

Ulasan