Puas hati pembunuh isteri diberkas

"Saya bersyukur dan amat lega apabila mengetahui suspek yang membunuh isteri akhirnya diberkas polis," kata Irwan Kamarudin, 37, suami kepada pekerja AmBank, Norazita Abu Talib yang maut ditembak pengawal keselamatan dalam kejadian di USJ Sentral 2, 23 Oktober lalu.

Irwan ketika ditemui di rumah kakak iparnya di Subang Bestari, di sini, semalam, berkata, dia dan keluarga khasnya anak-anak sangat gembira mendengar perkhabaran tersebut.

Beliau berkata, pada mulanya dia tidak mengetahui penahanan suspek utama kes isterinya, sehinggalah dihubungi rakan-rakan pada jam 9 pagi semalam, memaklumkan melihat perkara itu di internet.

"Saya dan anak-anak terus buka internet termasuk Facebook dan lihat banyak maklumat yang mengesahkan berhubung penahanan suspek utama.

"Berita di televisyen memaklumkan perkara sama, membuatkan kami sekeluarga yakin bahawa individu yang bertanggungjawab menyebabkan kematian isteri sudah ditangkap," katanya, semalam.

Irwan yang bekerja sebagai pemandu peribadi di Bukit Jelutong berkata, dia sangat berpuas hati dengan kecekapan polis dan berharap hukuman setimpal dikenakan terhadap suspek.

"Saya harap dia (pembunuh) menerima hukuman yang sewajarnya dengan kesalahan yang dilakukan dan gembira kematian isteri mendapat keadilan walaupun nyawanya tidak dapat dikembalikan," katanya yang akan mula bekerja esok (hari ini), setelah bercuti sejak kejadian itu.

Ketika ditanya mengenai perkembangan terkini dua anaknya, Nurnisa Nabilah, 12, dan Mohd Hazimy, 8, Irwan berkata, anak-anaknya sudah boleh menerima kenyataan ibu mereka sudah tiada.

Menurutnya, dia perasan terdapat sedikit perubahan pada anak-anaknya yang dulu periang kini berubah sedikit pendiam.

"Kalau ada ahli keluarga lain  bersama, anak-anak akan gembira tapi bila tinggal kami bertiga, mereka pasti teringat dan mula membelek album melihat gambar arwah bagi melepaskan rindu.

"Mereka masih kecil dan semuanya mengambil masa sebelum benar-benar memahami situasi sebenar yang berlaku. Saya sendiri pernah bermimpi akan arwah isteri," katanya.

Sementara itu, Nurnisa Nabilah berkata, dia sudah kembali bersekolah sejak Rabu lalu dan gembira dengan penerimaan rakan serta guru-guru yang banyak memberi sokongan.

Ulasan