KPN sah Siti Aishah dikehendaki pada 70-an

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London ialah individu yang dikehendaki pada tahun 70-an di negara ini kerana aktiviti berhaluan kiri, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
   
Mengesahkan identiti wanita itu, yang diselamatkan pada 25 Oktober lepas di London sebagai Siti Aishah Abdul Wahab, Khalid berkata wanita itu terlibat dalam aktiviti pelampau komunis berhaluan kiri.
    
"Siti Aishah ketika itu ialah aktivis mahasiswa berhaluan kiri dan dipercayai ke London untuk melanjutkan pelajaran. Dia seorang daripada penuntut pelampau berhaluan kiri masa zaman 70-an dahulu dan kegiatan mereka berpusat di London.
    
"Pada masa tu London bebas, bebas bersuara, bebas segala-galanya, so dia berpusat di sana. Jadi masa 70-an kita memang nak dia tapi dia dah pergi ke sana," katanya pada sidang media di sini hari ini selepas majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 156 anggota polis yang terlibat dalam Op Daulat di Lahad Datu, Sabah, Februari lepas.
 
Khalid berkata setakat ini tiada keperluan untuk menangkap Siti Aishah sekiranya dia pulang ke negara ini.
    
Bagaimanapun, katanya, polis akan sentiasa memantau sekiranya terdapat sebarang kegiatan komunis selepas ini.
   
Sabtu lalu, akhbar melaporkan wanita 69 tahun itu antara tiga wanita yang dibebaskan 25 Oktober lepas di London, selepas seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan. Dua wanita lain ialah warga Ireland dan Britain.
    
Siti Aishah berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dikatakan meninggalkan negara pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School of Economics (LSE) di United Kingdom.
    
Namun, ketika berada di sana, dia dikatakan terpengaruh dengan pergerakan Maoist iaitu politik melampau sehingga mengabaikan pengajiannya.
    
Berikutan pendedahan itu, kakak Siti Aishah, Kamar Mahtum diterbangkan ke London malam tadi bagi membuat pengecaman dengan membawa barang milik adiknya.
    
Ketika dalam kurungan, Siti Aishah dan dua wanita itu dilaporkan hanya dibenarkan keluar seketika untuk menjemur pakaian atau menemani suspek membeli barang. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Macam-macam kan! Apa Kata Anda?