Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JAIP mati ditembak

KUANTAN: Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malek maut terkena dua das tembakan yang dilepaskan seorang lelaki yang tidak dikenali di hadapan ruamahnya di Indera Mahkota 2, di sini, kira-kira jam 1.55 petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Zakaria Ahmad berkata, sebelum kejadian mangsa yang berusia 49 tahun sedang berehat di dalam rumah bersama isteri dan anaknya.
"Siasatan awal mendapati sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih berhenti di hadapan rumahnya sebelum seorang lelaki yang memakai jubah berwarna hitam serta berkopiah putih berusia dalam lingkungan
50-an keluar dan memanggilnya.

"Sebaik mangsa menghampiri suspek, seorang lagi suspek berusia 30-an yang berada di bahagian tempat duduk belakang keluar lalu melepaskan tiga das tembakan dan terus melarikan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.


Menurutnya, dua das tembakan yang dilepaskan mengenai bahagian dada kanan mangsa menyebabkannya mati di tempat kejadian.

Zakaria berkata pihaknya percaya kejadian itu mempunyai motif kerana ia berlaku dalam masa yang singkat iaitu kurang dari satu minit.

"Suspek dipercayai berlegar-legar di kawasan perumahan mangsa beberapa kali sebelum bertindak berhenti di hadapan rumah mangsa.

"Bagaimanapun kita masih lagi menyiasat motif kejadian sama ada ia berkaitan dengan tugas mangsa sebagai ketua penguatkuasa," katanya.

Siasatan dilakukan di bawak Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Macam-macam kan! Apa Kata Anda?