Video Wanita Arab maut ketika parasailing di Batu Ferringhi

GEORGE TOWN 10 Okt. - Seorang wanita warga Arab maut selepas terjatuh dari payung terjun ketika melakukan parasailing di Batu Ferringhi pada Rabu.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pada kejadian pukul 5.30 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Aldakhilallad Eman Mohamed, 35, dari Riyadh, Arab Saudi dilaporkan terjatuh pada ketinggian kira-kira tujuh meter dan tercampak ke dalam laut.

"Menurut pemandu bot yang menerbangkan mangsa, mangsa telah dipakaikan jaket dan cawat keselamatan. Setelah satu pusingan, mangsa tidak menarik tali payung terjun untuk mendarat, jadi pemandu bot menerbangkannya satu lagi pusingan untuk membolehkannya mendarat.

"Tetapi sebelum sempat mendarat, mangsa tiba-tiba terlucut dari tali keselamatan dan terjatuh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Gan berkata, wanita itu meninggal dunia dalam perjalanan ke sebuah hospital swasta di sini.

Mangsa yang tiba di negeri ini bersama ibu bapanya pada Selasa lepas sepatutnya mendaftar keluar dari hotel mereka Sabtu ini.

Beliau berkata, sehubungan kejadian itu, pemandu bot berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Macam-macam kan! Apa Kata Anda?