Wow! Wawa Zainal dibela VIP?

Kisah artis muda mendapat tajaan dan dibela orang kenamaan atau VIP bukan lagi kisah baru dalam industri seni. Malah sejak dahulu lagi, pelbagai kisah mengenai artis wanita baru yang menjadi buruan VIP yang ingin mendekati mereka dan seterusnya ditawarkan pelbagai kemewahan.

Tidak ketinggalan juga artis-artis wanita yang sudah mencipta nama, akan didekati golongan itu yang inginkan mereka menjadi kekasih, isteri dan tidak kurang juga sebagai wanita simpanan.

Kini, nama Wawa Zainal pula dikaitkan mempunyai hubungan dengan seorang VIP yang menaja kehidupannya selepas dia bergelar selebriti.

Pantas menafikan dakwaan tersebut, Wawa memberitahu bahawa dirinya tidak pernah terlintas untuk mengambil jalan singkat itu.

"Saya akui, sejak tahun lalu lagi gosip ini mula bertebaran. Namun, saya lebih suka untuk tidak mengambil tahu mengenai dakwaan tidak berasas itu.

"Dunia saya hanyalah bersama keluarga dan terlalu terikat dengan jadual kerja. Lagipun, saya bukanlah gadis yang suka bersosial. Bagaimana perkara ini boleh timbul?

"Namun, saya akui pernah mendapat tawaran dan ajakan daripada golongan berkenaan, namun saya menolak tawaran itu dengan baik," katanya yang lebih selesa dengan sikap sederhana dalam segala perkara.

Nafi beli undi

Dalam pada itu, Wawa juga mengakui amat terkejut dengan dakwaan segelintir pihak mengenai taktik 'beli undi' yang dirancang oleh Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), Mejar David Teo.

Katanya, kemenangannya dan dua rakan MIG, Shaheizy Sam serta Yana Samsudin tidak pernah dirancang atau diatur seperti yang didakwa.

"Saya terkilan kerana masih ada yang meragui kebolehan saya dan turut melibatkan pihak MIG. Saya percaya, kemenangan ini mungkin kerana impak lakonannya menerusi drama bersiri Lestary, Cinta Qaseh yang disiarkan di TV3.

"Namun, saya tak kisah dengan apa orang cakap. Cuma, saya harap perkara ini tidak berlanjutan,” katanya yang juga duta produk kecantikan, Shurah dan LipIce.

Mahu bukti kemampuan

Siapa sangka, walaupun baru sahaja bertapak sebagai pelakon sekitar November 2010, anak kelahiran Sabah ini berjaya meletakkan dirinya ke satu tahap yang mampu dibanggakan.

Namun, enggan mendabik dada dengan apa yang telah diperoleh, Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 22, tetap merendah diri.

"Alhamdulillah, syukur sangat dengan rezeki yang diterima. Namun, saya masih lagi Wawa yang dulu, tidak akan berubah apa-apa.

"Walaupun saya berjaya merangkul trofi ini, bukan bermakna saya harus berhenti berusaha. Masih banyak perkara lagi yang perlu saya pelajari dan bekerja keras untuk terus berjaya dalam industri.

"Kemenangan ini juga membuktikan populariti bukan diukur dari segi rupa paras, sebaliknya bakat dan kebolehan," katanya yang pernah membintangi beberapa filem termasuk 3 Temujanji, Sumpahan Kum Kum, Hantu Dalam Botol Kicap, Kisah Paling Gangster, Pada Suatu Cinta Dahulu dan Longkai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Macam-macam kan! Apa Kata Anda?