Nama Calon BN Diketahui Hari Ini


Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyerahkan surat tauliah pemilihan calon Barisan Nasional (BN) kepada pengerusi-pengerusi negeri di ibu negara pagi ini, sekali gus mengakhiri spekulasi mengenai barisan yang akan mewakili perikatan itu kali ini.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Surat jemputan liputan yang dikeluarkan juga mengesahkan Majlis Penyerahan Surat Tauliah BN akan berlangsung di Menara Dato’ Onn jam 11 pagi.
Sinar Harian Online difahamkan Najib, selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno, akan meneruskan tradisi di mana pengumuman calon akan dibuat oleh pengerusi negeri masing-masing.
Ahmad berkata, pemimpin BN setiap negeri akan menghadiri pertemuan yang dijangka akan turut disertai pemimpin parti komponen perikatan itu.
“Calon boleh menang yang terbaik terpilih,” kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan Umno ketika mengulas soalan mengenai surat jemputan media yang telah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja BN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah menetapkan 20 April ini sebagai hari penamaan calon manakala 5 Mei sebagai hari mengundi.
Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun menjadi rebutan pilihan raya umum kali ini.
Sementara dipetik Bernama, Ahmad berkata, pengerusi BN negeri akan pulang ke negeri masing-masing untuk mengumumkan calon-calon PRU13 BN bagi kerusi Dun dan Parlimen.
“Kebanyakan negeri dijangka membuat pengumuman Isnin dan Selasa ini, dan itu semua terpulang kepada mereka (pengerusi-pengerusi negeri),” katanya.
Parti-parti komponen Pakatan Rakyat, yang dijangka akan memberi saingan sengit kepada BN kali ini sudah mengumumkan senarai calon berperingkat-peringkat sejak seminggu lalu.
Najib yang menerajui BN sejak April 2009 dilihat mengambil pendekatan mengumumkan calon seminggu sebelum penamaan calon bagi membolehkan rakyat menerima dan pada masa yang sama mengelakkan unsur sabotaj.

Ulasan