TERKINI@OPS SULU:ENAM ANGGOTA POLIS TERKORBAN DI SEMPORNA DINAIKKAN PANGKAT

Petaling Jaya, 4 Mac -Kesemua enam anggota polis yang maut dalam insiden serangan hendap oleh kumpulan bersenjata di sebuah kampung di Semporna, Sabah dinaikkan pangkat, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan perkara itu kepada beliau selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Supt Ibrahim Lebar, 52, dan Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, 27, setibanya jenazah mereka di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini hari ini.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas kenaikan pangkat ini. Mudah-mudahan ia dapat membantu mengurangkan beban keluarga mereka," kata Khalid kepada pemberita.

Turut terbunuh dalam serangan hendap Sabtu lepas di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna ialah ASP Micheal Padel, 36, Sarjan Baharin Hamid, 49, Sarjan Abdul Aziz Sakirun, 48, dan Koperal Salam Togiran, 42.

Khalid berkata PDRM akan menghulur bantuan lain yang layak diterima kepada keluarga mangsa.

Terdahulu, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta ratusan pegawai dan anggota polis lain memberi penghormatan terakhir kepada kedua-dua jenazah.

Turut hadir isteri Sultan Johor Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah;
Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah; Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. - BERNAMA

Ulasan