TERKINI@OPS DAULAT:LEBIH 50 PENCEROBOH MILITAN DITAHAN MENGIKUT AKTA BAHARU


Lahad Datu, 8 Mac - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata lebih 50 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan penceroboh militan di Lahad Datu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas). 


Beliau berkata mereka, termasuk wanita, ditahan di beberapa tempat di Sabah tetapi di luar kawasan Op Daulat. "Mereka ditahan mengikut akta baharu itu (Akta Kesalahan Keselamatan(Langkah-Langkah Khas) 2012) dan dibaca bersama (beberapa seksyen) Kanun Keseksaan," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera di sini pada 5 petang ini. 

Gerakan Op Daulat masuk hari keempat hari ini dengan helikopter diguna untuk menghantar anggota keselamatan ke lokasi sekitar bagi operasi menggeledah manakala jet pejuang berlegar di udara membuat tinjauan. Ismail berkata polis kini mendapatkan maklumat daripada mereka yang ditahan berkaitan pihak penceroboh militan bagi membolehkan pasukan keselamatan mencapai objektif operasi.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran tangkapan itu secara terperinci kerana khuatir akan menjejaskan siasatan. "Apapun, tangkapan itu perlu dan mesti dilaksana kerana ada tanda-tanda kaitan suspek dengan penceroboh," katanya.

Sementara itu, Zulkifeli berkata sehingga 5 petang ini, pihaknya masih menunggu Wisma Putra berkaitan perkembangan kumpulan penceroboh akan menyerah diri dan meletak senjata tanpa syarat.

"Kami telah hubungi Wisma Putra, dan masih tidak dapat apa-apa berita sejak pagi tadi... tiada isyarat (serah diri dan letak senjata) daripada pihak berkenaan. "Justeru itu, Op Daulat diteruskan," katanya sambil menjelaskan tiada kejadian pertempuran antara pasukan keselamatan dan musuh hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang meninjau markas Op Daulat di Felda Sahabat semalam, berkata Malaysia menolak sebarang tawaran gencatan senjata serta menegaskan satu-satunya pilihan bagi penceroboh ialah letak senjata dan serah diri tanpa bersyarat. -BERNAMA

Ulasan