SUKAN:Johor FA patut dipersalah insiden bakar mercun - Tengku Abdullah


TEMERLOH 4 Mac - Johor FA, selaku penganjur perlawanan antara Johor Darul Takzim (JDT) dengan Negeri Sembilan patut dipersalahkan
atas insiden penyokong tuan rumah menyalakan suar dan membakar mercun pada perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Sabtu lepas.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, tindakan terhadap penganjur perlu diambil kerana ia melibatkan keselamatan para penonton.
"Ini tamparan kepada Johor FA (selaku tuan rumah) mereka kena bertindak, kita sepatutnya tidak boleh benarkan mercun atau bahan-bahan yang membahayakan penonton dibawa masuk," katanya.
Baginda bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Temerloh, Lancang, di sini hari ini.
Penyokong tuan rumah didakwa membakar mercun sebagai meraikan jaringan penyamaan Kamarul Afiq Kamarudddin pada minit-83 selepas mereka ketinggalan 0-1 sebelum jaringan Nurul Azwan Roya yang membawa kemenangan pasukan JDT pada minit akhir perlawanan.
Mengulas lanjut, Tengku Abdullah berkata, FAM mungkin akan memanggil penganjur bagi menjawab isu berkenaan.
"Selagi ia berulang kena ambil tindakan, ini kerana penganjur yang bertanggungjawab, bukan FAM, perkara ini telah dipersetujui oleh semua pihak dalam komuniti pertandingan (bola sepak).
"Ini soal keselamatan penonton yang tak berdosa, jadi saya nasihatkan janganlah bawa bahan-bahan yang merbahaya macam mercun (ke perlawanan bola sepak)," katanya. - BERNAMA

Ulasan