Langkau ke kandungan utama

KES PERCERAIAN:ORANG KETIGA YANG MENJADI PUNCA BOLEH DI HUKUM JUGA

Orang ketiga yang menjadi punca perceraian boleh dituduh sebagai penjenayah mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) di bawah Undang-Undang Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Ibrahim Lembut, berkata akta berkenaan yang mendefinisikan orang ketiga sebagai penceroboh institusi kekeluargaan menyatakan individu terbabit juga boleh dikenakan tindakan sewajarnya. 


“Tindakan atau hukuman denda RM1,000 dan penjara boleh diambil terhadap individu mahupun pihak ketiga yang mengganggu perkahwinan pihak lain sehingga menyebabkan perceraian.

“Akta ini sudah lama digubal, tetapi tidak dikuatkuasakan mungkin kerana ramai yang tidak tahu mengenainya, dan penguatkuasaannya diharap dapat dijadikan pengajaran atau penghalang kepada keruntuhan rumah tangga,” katanya selepas Bengkel Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Islam anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSM, Datuk Kamilia Ibrahim dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Mohd Amran Mat Zain.

Seminar sehari itu dihadiri lebih 150 peserta daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bertujuan memberi pendedahan mengenai isu semasa dalam institusi kekeluargaan. 
Berdasarkan statistik, sebanyak 222,701 kes perceraian dalam kalangan orang Islam dicatat sejak 2001 hingga 2011 dan satu daripada punca perceraian disebabkan kehadiran orang ketiga. 

Terdahulu, dalam ucapannya, Ibrahim berkata, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) berjaya menyelesaikan 2,040 atau 81.7 peratus daripada 2,497 aduan membabitkan isu nafkah menerusi proses runding cara sejak ditubuhkan pada 2008.

Ulasan