KEHEBATAN SUPERMOKH:MISTERI PENYAKIT SEBENAR TERUNGKAI


HARI Khamis, 11 Julai 1991, seluruh negara terutama peminat-peminat bola sepak tanah air menerima khabar sedih. Khabar tentang jagoan bola sepak negara, Mohd. Mokhtar Dahari meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang, Subang Jaya kira-kira pukul 8.25 pagi.
Meskipun seluruh negara mengetahui Mokhtar menderita sakit, namun tidak ramai menyangka bintang pujaan ramai itu yang amat bertenaga beberapa tahun sebelumnya, menghembuskan nafas terakhir hanya ketika berusia 38 tahun.

Apatah lagi ramai yang mengetahui terlampau banyak usaha dijalankan untuk memastikan Mokhtar kembali pulih termasuklah secara tradisional.
Antara yang dilakukan adalah dengan membawa Mokhtar ke Hospital Radcliffe Infirmary di Oxford, London untuk diperiksa oleh salah seorang doktor pakar di situ, Dr. Sir John Walton.
Ketika itu, ramai yang tertanya-tanya. Apa sebenarnya penyakit yang menyebabkan bintang kesayangan ramai itu menjadi lemah tidak berdaya?
Maka pelbagai telahan dan tohmahan timbul. Ada yang mengatakan Mokhtar menerima kesan daripada pengambilan steroid dan dadah. Ada pula yang mendakwa Mokhtar menggunakan susuk hanya semata-mata kerana aksi luar biasanya di padang.
Hakikatnya Mokhtar merupakan seorang yang amat bersih. Semua mereka yang rapat dengan Mokhtar tahu tuduhan-tuduhan liar itu tidak lebih daripada sekadar fitnah kerana pemain berjersi nombor 10 itu terkenal memiliki disiplin tinggi serta amat mementingkan kecergasannya termasuk dengan tidak merokok.
Setelah beberapa lama, media mula mencanangkan kononnya Mokhtar menghidap penyakit Mascular Dystrophy.
Carian di Internet sehingga kini mendapati masih ramai yang percaya dengan dakwaan itu dan menganggap itulah penyakit yang membawa kepada pemergian Mokhtar.
Hakikatnya, Mokhtar diserang penyakit Motor Neuron Disease (MND). Difahamkan, penyakit itu menyebabkan pesanan otak ke ototnya terganggu mengakibatkan aktiviti otot menjadi tidak menentu dan akhirnya terhenti dengan sendiri.
Mengimbas sejarah kecemerlangan Mokhtar dalam dunia bola sepak tanah air, segala-galanya bermula apabila anak kelahiran Setapak yang dibesarkan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu terpilih menyertai Selangor dalam pertandingan Piala Burnley di Kuching, Sarawak.
Tidak berapa lama selepas itu, bakatnya yang menonjol menyebabkan Mokhtar mendapat tempat dalam pasukan senior Selangor serta beraksi dalam Piala Malaysia biar pun usianya baru berusia 18 tahun.
Nyata peluang itu tidak dipersia-siakan. Beliau menjaringkan sembilan gol dalam kejohanan itu termasuk dalam perlawanan akhir ketika Selangor menjulang kejuaraan dengan menewaskan Perak 3-0.
Aksinya yang memukau menyebabkan beliau dipanggil menyarung jersi negara setelah hanya dua bulan beraksi bersama pasukan senior itu.
Setelah itu, nama Mokhtar mula menjadi sebutan seiring dengan zaman kegemilangan bola sepak Malaysia. Turut menjadi sanjungan rakyat ketika itu adalah beberapa lagi pemain terbilang seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, Shukor Salleh, R. Arumugam serta beberapa nama lagi.
Gandingan mantap pemain-pemain ini membawa Malaysia memenangi pingat pertama bola sepak dalam Sukan Asia apabila meraih gangsa di Teheran, Iran pada 1974.
Selain itu, Malaysia turut menewaskan Kuwait, Korea Selatan dan Jepun untuk menjuarai Piala Merdeka pada 1973, 1974 dan 1976.
Impak Mokhtar buat Selangor juga cukup besar. Beliau merupakan pemain paling lama yang beraksi untuk Selangor iaitu selama 16 tahun. Dalam tempoh itu, Selangor mara sebanyak 12 kali ke perlawanan akhir dan menjuarainya sebanyak 10 kali.
Pada 1986, sebaik diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang dimenangi dengan menewaskan Johor 6-1, Mokhtar mengumumkan persaraannya dari arena bola sepak tanah air.
Namun cintanya kepada bola sepak cukup mendalam. Setelah dipujuk, Mokhtar kembali beraksi bersama Selangor untuk semusim lagi.
Dan rasa cinta itu terus dibuktikan apabila membawa pasukan Kwong Yik Bank menjadi juara Liga Dunhill Selangor selaku pengarah sukan merangkap jurulatih pada 1988 biar pun ketika itu ramai yang mengetahui beliau sedang bertarung dengan ‘penyakit ganjil’ (MND) yang tanpa disangka menyebabkan bintang pujaan ramai itu pergi pada usia muda.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20130223/lk_01/Kehebatan-Supermokh#ixzz2NRaPXHwz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ulasan