Shahidan bawa FAM ke Fifa


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim akan membawa 
kemelut penggantungannya ke pengetahuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) sekiranya gagal diselesaikan di peringkat domestik.

Menyifatkan ia sebagai jalan terakhir, beliau berharap badan tertinggi bola sepak dunia berkenaan mempunyai jalan untuk menyelesaikan masalah dihadapi sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gagal berbuat demikian.

Ditanya sama ada beliau akan menjelaskan denda berkenaan, Shahidan berkata, beliau 
mahu menunggu surat berkenaan terlebih dahulu.

“Sebelum ini kata boleh merayu, kemudian kata tidak boleh merayu pula. Jika begini keadaannya saya rasa perlu merayu kepada Fifa berkenaan masalah ini kerana badan ini adalah tertinggi di dalam bola sepak dunia yang diharapkan mampu memberi keadilan pada semua,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jelasnya, andai beliau terpaksa merayu kepada Fifa, beberapa perkara bakal diusulkan kepada badan induk tersebut, antaranya berkenaan isu bookie yang didakwa semakin berleluasa namun sebarang tindakan masih belum digerakkan biarpun sudah mempunyai bukti.

Berhubung dirinya yang digantung daripada jawatan Presiden PFA, Shahidan menegaskan beliau mahu menunggu surat dari FAM sebelum sebarang tindakan lain akan diputuskan olehnya.

"Presiden PFA sudah tentu akan dipangku oleh orang lain tetapi masalahnya, mesyuarat tidak dapat dilakukan kerana surat tidak dapat lagi,” katanya.

Kelmarin, FAM menerusi Jawatankuasa Tatatertib menjatuhkan hukuman denda RM39,000 dan gantung 30 bulan terhadap Shahidan kerana melanggar Artikel Statut 88 badan induk itu.

Ulasan