Pelajar Tingkatan 3 ‘Maut Berdiri’ Akibat Renjatan Elektrik Di Klang

KLANG: Seorang pelajar tingkatan tiga maut akibat terkena renjatan elektrik daripada sebuah kotak kabel pembekal elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah Kapar di sini pada 1.15 tengah hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Mohammad Amirul Syafiq Halim, 15, disahkan meninggal dunia ketika dibawa oleh anggota polis untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kapar di sini.
Bapa mangsa, Halim Mohd Ismail, 38, berkata beliau dimaklum mengenai kejadian itu kira-kira 1.20 tengah hari.
“Saya difahamkan anak saya berada di kawasan itu sementara menunggu bas untuk pulang ke rumah yg terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
“Sebaik melintasi kotak itu arwah terkena renjatan elektrik serta terhenti dan berada dalam keadaan berdiri tegak,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa merupakan anak sulung daripada empat beradik dan bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
“Arwah seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap. Kali terakhir saya bersembang dengannya pada 6 pagi tadi sebelum keluar pergi ke sekolah.
“Kami sekeluarga reda tapi berharap supaya pihak terbabit peka dan mengambil tindakan segera menutup kotak kabel elektrik bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.
Halim berkata jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kapar petang ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Pengurus Besar TNB Selangor Datuk Mohd Azim Yusof ketika dihubungi berkata pihaknya mendapati berlaku vandalisme pada kotak pembekal elektrik 33 kilo Volt (kV) berkenaan.
Beliau berkata pihaknya akan membaiki segera kotak itu dan kejadian berkenaan telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Tenaga.
“Kita telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian ini malah kami tidak menerima maklumat mengenai kerosakan itu dan berharap supaya orang ramai melaporkan sekiranya berlaku perkara yang sama,” katanya.
Pengarah Pelajaran Selangor Mahmud Karim berkata pihaknya akan meminta sekolah berkenaan memohon pondok bas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kemudahan pelajar.
“Kita harap pihak berkenaan mengambil langkah sewajarnya supaya kejadian sama tidak berulang kerana ia bukan sahaja membahayakan pelajar sekolah tetapi juga orang awam,” katanya.
Beliau berkata pihaknya bersedih dengan kejadian itu dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Macam-macam kan! Apa Kata Anda?