PAS Melukut Di Tepi Gantang Dalam Pakatan


Pada 14 Januari lepas, Majlis Syura Ulamak Pas telah membuat keputusan bahawa kalimah 'Allah' tidak boleh digunakan sebagai terjemahan kepada 'Tuhan' atau 'Lord' dalam sebarang teks keagamaan bukan Islam, sekaligus
memaksa Timbalan Presiden parti Mohamad Sabu untuk menarik balik pendiriannya bahawa "orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan-tuhan mereka."
Sewaktu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Kerajaan Persekutuan membenarkan penganut-penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah dalam terjemahan Bahasa Malaysia kitab Injil, Dato' Seri Anwar Ibrahim tahu isu ini akan menggoncang kesatuan, kerjasama dan muhibbah yang kononnya wujud dalam Pakatan Rakyat.
Beliau menegaskan bahawa walaupun beliau menghormati keputusan Majlis Syura tersebut, tiada sebarang perubahan dalam pendirian Pakatan Rakyat berhubung isu kalimah Allah.
Dengan kata lain, Anwar sekali lagi telah membelakangkan PAS demi DAP, dan demi undi bukan-Islam.
Sudah terang lagi bersuluh kerjasama antara PAS dan rakan-rakannya dalam Pakatan semakin goyah. Sewaktu Anwar Ibrahim naik ke pentas untuk berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat dua miggu lalu, ramai penyokong-penyokong PAS mula melangkah keluar meninggalkan stadium.
Sebenarnya ini sudah lama berlarutan. PAS seolah-olah menjadi boneka semata-mata dalam Pakatan, tunduk dan akur kepada setiap keputusan yang dibuat oleh PKR dan DAP walaupun bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
Keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang menghalang orang bukan Islam dari menggunakan kalimah Allah adalah satu lagi petanda bahawa PAS sebenarnya sudah bosan menjadi anak tiri dalam Pakatan.
Karpal Singh juga bertindak keterlaluan apabila menggesa Datuk Seri Abdul Hadi Awang memastikan majlis ulamak PAS berpegang teguh kepada pendirian-pendirian Pakatan.
Adakah PKR dan DAP mendengar keluhan akar umbi serta Majlis Syura Ulamak PAS? Tidak. Sebaliknya, ADUN Bagan Dalam A. Thanasekaran membuat kenyataan bahawa sikap ahli-ahli PAS yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap Karpal Singh itu tidak boleh diterima sama sekali, dan menggesa PAS mengambil tindakan ke atas ahli-ahli PAS yang terlibat dalam tunjuk perasaan tersebut.
Adakah PAS sudah tidak dialu-alukan dalam Pakatan? Segala-galanya sudah semakin jelas di mata rakyat Malaysia. Dan sudah pastinya pemimpin-pemimpin PAS akan semakin tertekan dengan ketidakpuasan hati ahli-ahlinya terhadap Pakatan Rakyat.
Teringat saya kepada kata-kata Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat tentang kerjasama antara PAS dan DAP lebih daripada sepuluh tahun yang lalu: "Jika DAP ikhlas nak tolong PAS, saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun boleh saya terima."
Nampaknya apa yang berlaku sekarang ternyata songsang. PAS yang membantu DAP. Dan syaitan sedang ketawa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Macam-macam kan! Apa Kata Anda?