Sejarah hebat akan berulang pada Piala AFF Suzuki 2012 ?

KUALA LUMPUR - Penyokong setia Harimau Malaya pastinya mengharapkan sejarah hebat berulang pada Piala AFF Suzuki 2012.
Selepas memperagakan aksi
longlai apabila dimalukan Singapura 0-3 pada perlawanan pembukaan Ahad lepas, anak buah Datuk K. Rajagobal bingkas bangkit dengan kemenangan bergaya mengalahkan Laos 4-1 semalam.
Kemenangan itu menghidupkan peluang Malaysia menempah tempat ke separuh akhir, namun ia bukan tugas mudah kerana terpaksa berdepan Indonesia yang turut mengharapkan tiga mata penuh pada aksi terakhir peringkat kumpulan B itu pada Sabtu ini.
Kebangkitan itu diharapkan  dapat mengulangi skrip sama ketika edisi 2010 apabila skuad Harimau Malaya muncul juara.
Itulah impian jutaan peminat bola sepak Malaysia.
Pada edisi 2010, Malaysia terpaksa melaui laluan berliku sebelum bergelar juara apabila dibelasah Indonesia 5-1 pada perlawanan pembukaan dan kemudian seri tanpa jaringan menentang Thailand.
Ketika peluang Malaysia mara ke separuh akhir seperti sudah tertutup, mujur Indonesia muncul penyelamat apabila mengalahkan Thailand dan Malaysia pula menewaskan Laos 5-1 untuk menempatkan skuad Harimau Malaya dalam saingan kalah mati itu.
Di peringkat separuh akhir, Malaysia menampilkan aksi bertenaga apabila mengalahkan Vietnam 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan seri tanpa jaringan di tempat lawan, sekaligus memastikan aksi di perlawanan akhir.
Skuad Harimau Malaya terus menampilkan aksi terbaik di pentas final dengan kemenangan agregat 4-2 selepas membenam Indonesia 3-0 di sini, sebelum tewas tipis 1-2 di Jakarta.
Oleh itu, bukanlah  mustahil sejarah akan berulang kali ini.
Malah, Rajagobal menerima kekalahan kepada Singapura dengan hati terbuka dan memberitahu wartawan pada sidang media selepas perlawanan itu bahawa sejarah AFF 2010 akan berulang dan mereka mampu  mempertahankan kejuaraan tersebut.
Janji Rajagobal sudah ditepati semalam dan mereka perlu mengekalkan momentum itu apabila berdepan Indonesia Sabtu ini.
Percaturan Rajagobal, yang melakukan perubahan besar dalam skuad Harimau Malaya, ketika menentang Laos juga berhasil.
Mungkin eksperimen beliau sudah menemui formula terbaik untuk menterjemahkan aksi hebat dan kemenangan?
Membariskan Farizal Marlias selaku penjaga gawang, Mahali Jasuli, Shakir Shaari dan Wan Zack Haikal Wan Noor dalam kesebelasan utama ternyata memberi impak kepada skuad Harimau Malaya.
Apapun teori dan pandangan yang diberi, hanya kemenangan yang diinginkan terutama apabila berdepan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Ayuh pemain, kembalikan semula semangat "HARIMAU MALAYA...kita boleh". Selamat berjuang kepada Harimau Malaya, kami sentiasa di belakang anda.- Bernama

Ulasan