Langkau ke kandungan utama

Rajagopal Menggigil, Laos nak 'sembelih' Harimau

Kuala Lumpur: Laos berselera besar mahu menewaskan Malaysia pada perlawanan kedua, Kumpulan B Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini. 
Selepas hampir memalukan Indonesia pada perlawanan pertama Ahad lalu yang berakhir dengan keputusan seri 2-2, pengendali Laos, Kokichi Kimura yakin anak buahnya mampu beraksi lebih baik menentang tuan rumah yang juga juara bertahan. 
Saya pasti Malaysia akan bermain 100 peratus, tetapi kami akan bermain 110 peratus" - Kokichi Kimura, Jurulatih Laos
“Saya pasti Malaysia yang tertekan selepas tewas kepada Singapura akan bangkit memburu kemenangan, tetapi kami sudah bersedia,” kata Kimura pada sidang media, semalam.
“Malaysia dan Indonesia tidak banyak beza, saya mungkin akan melakukan sedikit perubahan taktikal untuk perlawanan ini.
“Saya pasti Malaysia akan bermain 100 peratus, tetapi kami akan bermain 110 peratus. Saya harap ia bakal menjadi permainan menarik dan kemenangan berpihak kepada kami,” katanya. 
Laos yang menduduki ranking ke-179 dunia melakukan kejutan pada perlawanan sulung kempen kali ini apabila dua kali mendahului Indonesia menerusi permainan pantas dan tersusun.
Kimura yang mula mengendali skuad Laos sejak Julai lalu mempertaruhkan barisan pemain muda pada kejohanan kali ini dan selepas aksi pertama Kumpulan B, kehadiran pasukan kerdil Asia Tenggara itu tidak lagi boleh dilabel sebagai pasukan belasahan.

Ulasan