GEORGETOWN - Perjuangan politik Pas kini tidak lagi menepati kehendak
Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata Sasterawan Negara
Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.
Beliau berkata apa yang dilakukan oleh Pas sekarang ialah hanya
menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah
dengan kehendak Islam kerana Pas sepatutnya memimpin dalam memperjuang
Islam.
Shahnon yang juga anggota Pas seumur hidup berkata adalah sangat
menyedihkan kerana kerjasama Pas dengan DAP itu bukan seperti yang
diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah
SAW ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama
Islam.
"Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan Pas," katanya kepada Bernama semalam.
Beliau yang juga bekas anggota Parlimen Sik berkata dasar Pas sekarang
tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak
DAP.
DAP sebelum ini telah menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini seperti yang dimahukan Pas.
Shahnon yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti
Sains Malaysia (USM) berkata, pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama
dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik bukanlah seperti kerjasama Pas
dan DAP sekarang kerana ketika itu Islam yang memerintah dan memimpin
kaum-kaum berkenaan.
Terdahulu itu, beliau menghadiri perasmian pameran 'Shahnon Ahmad dalam
Media, Persidangan Kebangsaan Shahnon Ahmad dalam Sastera, Budaya,
Media' dan pelancaran buku serta prototaip e-novel "Mahabbah" di
Universiti Sains Malaysia di sini.
Menyentuh e-novel 'Mahabbah', Shahnon berkata, ia mengenai perjuangan
seorang tua yang sudah tidak mempunyai kuasa tetapi ada hati yang kuat
untuk menyatu padukan orang Melayu menerusi doanya kepada ALLAH.
Katanya e-novel itu turut melambangkan masyarakat Malaysia yang
berbilang kaum tetapi bersatu walaupun masing-masing berpegang kepada
cara tersendiri untuk hidup damai dan harmoni. - Bernama
Ulasan
Catat Ulasan
Macam-macam kan! Apa Kata Anda?