Final Piala Malaysia: ‘Peluang seimbang, masih ada masa’

Pemain Kelantan, Nik Shahrul cuba menanduk bola ketika menentang Selangor di Stadium Sultan Muhammed

DEBARAN saingan Piala Malaysia terus dirasai. Malah kerancakan berterusan apabila kesemua pasukan mengekalkan sikap berjuang dalam mencari slot final 20 Oktober ini.

Setelah berakhirnya pusingan separuh
akhir pertama, Piala Malaysia terus menyaksikan debaran apabila setiap pertemuan yang berlangsung menyukarkan untuk menentukan dua pasukan terbaik bagi berentap dalam aksi final.

Perlawanan separuh akhir turut dicemari dengan beberapa insiden kekasaran iaitu menyaksikan The Red Giants terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Nasriq Baharom dilayangkan kad merah pada minit ke-64.

Kekalahan Selangor juga dilihat terus berterusan apabila gagal mencatat kemenangan sepanjang 10 tahun ketika beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Mampukan anak didik Irfan Bakti bangkit dari kekalahan kepada Kelantan?

Kini, tiba masanya pemain Merah Kuning menepis segala tohmahan liar mengenai kemampuan Selangor untuk menundukkan pasukan Gergasi Pantai Timur itu di Stadium Shah Alam minggu ini.

Jurulatih Selangor, Irfan bagaimanapun enggan menekan butang panik sebaliknya beliau menganggap masih terlalu awal untuk menentukan siapakah yang layak ke final.

"Tidak perlu menekan butang panik, perlawanan baru bermula.

"Kami masih mempunyai baki 90 minit perlawanan lagi, jadi kami tetap mempunyai peluang," kata Irfan ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Tambah Irfan: “Lagipun Kelantan menang tipis di tempat sendiri, ia tidak membawa bekalan yang selesa untuk aksi timbal balik nanti.”

“Jadi, sebelum perlawanan belum berakhir, siapa juara dan siapa yang layak ke final masih belum boleh ditentukan," jelasnya lagi.

Sementara itu, Kelantan yang diharapkan mampu memberikan persembahan menarik hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Selangor di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Biarpun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di halaman sendiri, Kelantan nyata masih belum mampu menarik nafas lega apabila hanya mempunyai kelebihan satu gol.

Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, biarpun mempunyai bekalan selesa dalam aksi timbal balik nanti, beliau bagaimanapun tidak mahu jadikan ia sebagai tiket untuk sambil lewa dalam perlawanan hidup mati itu.

Jelasnya, perlawanan semakin sengit lebih-lebih lagi bakal bertandang ke tempat lawan.

"Saya berharap pemain akan mengekalkan momentun sebelum ini bagi merealisasikan misi treble musim ini.

"Jangan memberi laluan kepada Selangor untuk menjaringkan gol sebaliknya kita yang perlu memburu gol awal bagi memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah," jelas Azman yang lega meskipun hanya satu gol dibawa ke Stadium Shah Alam.

Begitu juga dalam saingan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang Lions XII apabila pasukan bimbingan B. Sathianathan hanya berpuas hati apabila mencatat keputusan seri 1-1 dengan pasukan itu.
Dan, perlawanan antara kedua-dua pasukan ini masih dilihat terbuka.

Menjelang perlawanan timbal balik yang akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, skuad bimbingan Sathianathan harus mempergiatkan persiapan rapi agar memastikan kemenangan milik skuad The Army.

Bagaimanapun, ia tidak semudah itu. Semangat membara Lions XII untuk mengembalikan kegemilangan mereka di kancah bola sepak Malaysia pasti akan berjuang berhabis-habisan untuk menyekat kemaraan ATM.

Sathianathan berkata, bagi perlawanan separuh akhir kedua nanti, ATM perlu lebih berhati-hati kerana skuad Kota Singa itu tidak boleh dipandang mudah.

"Saya enggan terlalu selesa dengan keputusan itu sambil menyifatkan tugas mereka hanya akan selesai di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Khamis ini.

"Tida dinafikan peluang kami cerah untuk mara ke final. Satu gol di tempat lawan sangat penting bagi kami,” katanya.

Namun, katanya: “Saya tidak mahu mereka alpa atau mendabik dada di atas kejayaan itu kerana kami masih memiliki 90 minit lagi untuk merealisasikan hasrat kami untuk melangkah ke final.”

"Jadi sekali lagi saya mahu para pemain ATM memberikan tumpuan 100 peratus pada aksi separuh akhir kedua nanti," tambah beliau.

Dalam pada itu, jurulatih Lions XII, V Sundramoorthy pula berkata, meskipun berhadapan laluan sukar untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia setelah terikat seri 1-1, beliau enggan menyerah kalah.

"Selagi baki 90 minit perlawanan belum berakhir, ATM tidak boleh mendabik dada mengatakan mereka sudah mara ke separuh akhir.

"Apa-apa pun boleh terjadi dalam tempoh tersebut. Dan, dalam perlawanan bola sepak tiada yang mustahil," jelas beliau.

Saingan separuh akhir kedua akan berlangsung 11 dan 12 Oktober ini bagi menentukan pasukan yang akan menenpah slot ke final.

Ulasan