Ugutan bunuh pemimpin di Facebook

Kuala Lumpur: Satu ugutan untuk membunuh pemimpin negara dikesan dalam laman sosial Facebook sejak tiga hari lalu. 

Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom, ketika mendedahkan perkara itu, berkata pihaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini bagi mengesan mereka yang cuba mencetuskan suasana takut dan bahaya itu. 

“Ini bukan bahan gurauan atau jenaka, sebaliknya ugutan terhadap pemimpin nombor satu negara yang mendatangkan kemarahan seluruh rakyat. Kami turut mengesan tindakan individu sama memaparkan gambar bendera yang digelar Republik Malaysia, kononnya bakal menggantikan Jalur Gemilang. 

“Perbuatan ini tindakan orang yang tidak mempunyai akal serta tidak tahu mengenai perjuangan,” katanya ketika dihubungi semalam sambil menambah laporan mengenai perkara sama juga diserahkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk tindakan lanjut. 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan dibuat PVTM, petang semalam dan akan menjalankan siasatan mengikut Akta Jenayah Siber dan Multimedia.

Ulasan