Samseng kampung belasah polis

Jerantut: Seorang anggota polis cedera dibelasah sekumpulan 'samseng kampung' dalam kejadian di Sri Cheka, di sini, minggu lalu. 

Kejadian menimpa Lans Koperal Ammar Rusli, 25, yang bertugas di Pondok Polis Damak itu berlaku jam 11.15 malam 23 Ogos lalu ketika beliau cuba menyuraikan sekumpulan individu, kebanyakannya remaja yang mengganggu ketenteraman awam dengan membuat bising termasuk berlumba haram. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Zakaria Kasim, berkata mangsa ke tempat kejadian selepas menerima maklumat penduduk Taman Sri Damak, mendapati sekumpulan remaja membuat bising, berlumba haram serta mengganggu ketenteraman awam. 

“Sebahagian beredar sebaik menyedari kehadiran mangsa, namun ada yang berdegil. Dia terus menasihatkan mereka, namun seorang dalam kumpulan itu menumbuknya dan kemudian disertai yang lain ketika mangsa terbaring,” katanya. 
Mangsa diselamatkan anggota lain yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian. 

Katanya, polis menahan 10 suspek bagi membantu siasatan dan tiga daripada mereka sudah dihadapkan ke mahkamah untuk pendakwaan.

Ulasan