Maut kerana hendak tolong mangsa kemalangan

KUANTAN - Seorang peneroka yang berhasrat untuk menolong mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya, maut akibat dirempuh kereta dalam kejadian langgar-lari di Km 74, Lebuhraya Pantai Timur berhampiran Karak, Bentong
semalam.
Ariffin Hamid, 63, dari Felda Bukit Damar, Lanchang mati dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Karak akibat cedera parah di kepala.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata ketika kejadian 7.50 malam itu, mangsa turun dari keretanya untuk membantu seorang pemandu sebuah kereta Proton Saga yang kemalangan.
"Ketika melintas jalan, tiba-tiba sebuah kereta Proton Wira yang dipercayai dipandu laju menuju arah Kuantan, hilang kawalan lalu merempuh mangsa sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan.
"Namun pemandu kereta berwarna putih tersebut dan tidak diketahui nombor pendaftarannya, tidak memberhentikan kenderaannya, tiada juga sebarang laporan dibuat," katanya.

Mohamed Fauzi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil membantu siasatan.
Pemandu kereta Proton Saga berkenaan yang berusia sekitar 30-an hanya cedera ringan selepas keretanya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.- Bernama

Ulasan