Isteri nusyuz tak layak dapat nafkah


SAYA sudah bercerai dan tempoh ‘iddah baru saja selesai. Saya mempunyai dua anak. Bekas isteri dan keluarganya minta nafkah untuk
isteri. Saya tidak memberi nafkah kepada bekas isteri kerana beranggapan isteri nusyuz ketika berlaku perceraian.
Saya hanya memberi nafkah kepada anak. Seminggu sebelum lafaz talak, bekas isteri tidak mendengar cakap saya dan keluar rumah tanpa izin. 
Dia menjerit-jerit meminta cerai dan saya hanya berdiam menyuruhnya mengucap dan ingatkan Allah. Saat lafaz talak, kami bertikam lidah kerana saya tidak membenarkannya keluar kerja sambilan disebabkan anak selalu sakit sejak dia kerja dalam masa tiga bulan itu.

Sebelum ini kami sering bertengkar kerana berselisih faham dalam perkara remeh dan ditambah pula apabila ada campur tangan keluarga bekas isteri.



Adakah betul tindakan saya tidak memberi nafkah kepada isteri?


EWAN,
Sabah 



ISTERI berhak mendapat nafkah apabila hidup bersama suami dan ketika tempoh iddah sekiranya berlaku perceraian. Bagaimanapun, apabila isteri itu menjadi nusyuz, dia tidak lagi berhak mendapat nafkah wajib.

Perbuatan nusyuz adalah enggan dengan secara tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suami. Ini termasuk menjauhi diri daripada suami, meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suami dan enggan berpindah bersama suami ke rumah atau tempat lain (Akta Undang-Undang Keluarga Islam WP 1984).

Semua itu tidak melayakkan isteri mendapat nafkah kerana ingkar dalam mentaati suami. Tindakan saudara untuk tidak memberi nafkah dikira betul mengikut hukum syarak disebabkan tindakan isteri yang menjadi nusyuz.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada pengesahan Mahkamah Syariah.


Ulasan