Edar dadah: Rakyat Nigeria terima padah


PUTRAJAYA 30 Ogos - Seorang lelaki warganegara Nigeria diperintah menjalani hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan
hari ini menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman mati kerana mengedar 630.4 gram heroin di sebuah hotel, 12 tahun lalu.
Jowy Manjoro yang dikenal pasti terlibat dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa, diberkas oleh sepasukan polis tempatan hasil kerjasama yang dijalankan dengan Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat.
Operasi merentas sempadan di antara kedua-dua pasukan itu dijalankan selepas DEA menerima maklumat daripada seorang penyamar sulit yang juga rakyat Afrika bahawa perayu bersetuju menjual sejumlah dadah kepadanya.
Kedua-dua pasukan kemudian merancang strategi dengan memasang kamera tersembunyi dan peralatan audio dalam bilik hotel itu yang membolehkan sebarang perbualan dan peristiwa yang berlaku dirakam, didengar dan disaksikan dari bilik bersebelahan.
Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif sebulat suara menolak rayuan Jowy dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya serta Mahkamah Rayuan yang mengekalkannya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Bache manakala rakyat Nigeria itu diwakili oleh peguam Hanif Hassan. - UTUSAN

Ulasan