Semalam kecoh di Parlimen berhubung tindakan PAS melalui Naib Presidennya, Salahuddin Ayub, yang mahu kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas Parlimen bagi membincangkan tentang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.
Menurut kenyataannya kepada akhbar, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mahu pemimpin politik dari Pakatan Rakyat terbabit dalam hal membabitkan kepentingan para peneroka Felda melalui penubuhan jawatankuasa khas tersebut.
Selain itu, Salahuddin berkata, wujud segelintir peneroka yang membantah penyenaraian FGVH tersebut melalui memorandum dan injunksi mahkamah bagi menghalang anak syarikat Felda itu disenaraikan di Bursa Malaysia sebagaimana yang dijadualkan kerajaan pada Mei atau Jun ini.
Justeru, beliau menggesa agar kerajaan mengadakan satu referendum di antara Felda dan para peneroka Felda bagi mendapatkan gambaran sebenar sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan penyenaraian FGVH tersebut.
Bagus benar bunyinya gesaan Salahuddin Ayub itu dan ia bagaikan diluahkan dari hati seorang ‘pemimpin yang prihatin’ tentang nasib peneroka Felda.
Namun, kepada mereka yang mengikuti perkembangan berhubung penyenaraian FGVH tersebut ia seolah-olah satu kenyataan yang sangat dangkal dan bagaikan beliau tidak tahu apa-apa mengenai hal yang diperkatakan itu.
Sepatutnya, Salahuddin perlu menyuarakan pendapatnya itu sejak tahun 2003 lagi ketika mana mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mengumumkan tentang penyenaraian tersebut pada satu sesi pembentangan bajet di Parlimen.
Hal tersebut sudah puas diperbincangkan secara terperinci oleh kerajaan dan pengurusan Felda hampir sedekad yang lalu setelah mengambil kira tentang buruk baik untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Jelas sekali bahawa Naib Presiden PAS itu sudah ketinggalan ‘keretapi’ selama sembilan tahun untuk membincangkan hal ini di Parlimen dan sekaligus ia hanya akan membuang masa ahli-ahli Parlimen untuk membincangkan sesuatu yang memberikan pulangan besar terhadap peneroka.
Merujuk kepada referendum yang didesak oleh PAS itu sebenarnya tidak perlu pun dibuat memandangkan ia akan mengambil masa yang lama untuk mendapat respon dari 112,635 peneroka di seluruh pelosok tanahair dan membabitkan kos yang tinggi –seolah-olah ‘pilihanraya Felda’.
Referendum atau apa jua perbincangan membabitkan Felda dan peneroka sepatutnya diperbincangkan di dalam Mesyuarat Agung Khas (EGM) Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang direncanakan pada 29 Februari lalu.
Ahli-Ahli Lembaga Pengarah KPF melalui notis EGM telah membuat keputusan untuk mencadangkan kepada para perwakilan supaya KPF menerima tawaran FELDA untuk membeli saham-saham milik KPF di dalam Felda HoldingsBerhad (FHB) dan 10 anak syarikatnya, serta seterusnya menyertai cadangan penyenaraian.
Namun, atas ‘kebijaksanaan’ Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mazlan Aliman yang menghasut beberapa peneroka dan ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF) untuk memfailkan injunksi mahkamah terhadap EGM KPF tersebut serta melarang mereka untuk membincangkan hal tersebut secara demokrasi.
Persoalannya, mengapa PAS sendiri dengan ‘bijak pandai’nya melarang hal itu diperbincangkan oleh Felda dan para peneroka untuk mengetahui sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia?
Setelah melarang perbincangan antara Felda dan KPF mengenai penyenaraian FGVH melalui EGM, kemudian PAS mahu pula referendum di antara dua pihak itu diadakan? Bukankah ia tidak wajar?
Mengapa pula PAS melalui Mazlan Aliman pada ketika itu menafikan hak bersuara dan undian para peneroka Felda melalui cara yang lebih demokratik? Apakah hanya platform yang disediakan oleh PAS saja yang ‘laku’ dan ‘sah’?
Mana lebih wajar sama ada membenarkan Felda dan wakil-wakil peneroka di dalam KPF membincangkan hal tersebut secara syura (mesyuarat) sebagaimana yang dianjurkan Islam, atau memilih untuk menyusahkan dan membazirkan kos dengan mengadakan referendum tersebut?
Mungkin ada pula suara-suara sumbang yang akan timbul mengatakan bahawa KPF itu hanya melibatkan perbincangan antara lebih kurang 1,300 wakil peneroka dan tidak mewakili 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.
Apa salahnya suara 112,635 orang peneroka itu diwakilkan oleh 1,300 orang wakil mereka di KPF?
Memang itu tanggungjawab wakil-wakil KPF itu untuk membawa suara para peneroka di kawasan mereka ke mesyuarat tersebut.
Proses tersebut adalah sama dengan proses wakil-wakil rakyat seperti ADUN atau ahli Parlimen yang membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen setiap kali mereka bersidang.
Apakah perlu ADUN atau ahli Parlimen menyediakan ratusan buah bas untuk membawa puluhan ribuan pengundidi kawasan mereka ke dewan persidangan untuk membentangkan usul demi kepentingan rakyat yang diwakili mereka?
Jelas sekali proses referendum tersebut tidak perlu memandangkan para peneroka sudah mempunyai wakil masing-masing untuk membawa kepentingan mereka di EGM KPF tersebut.
Sepatutnya, Salahuddin dan kepimpinan PAS ‘tarik telinga’ Mazlan Aliman yang ‘pandai-pandai’ menghasut segelintir peneroka untuk memfailkan injunksi mahkamah sehingga membantutkan proses perbincangan antara wakil mereka dan Felda mengenai penyenaraian FGVH tersebut.
Sekiranya, AJK PAS itu tidak berbuat demikian, sudah tentu para peneroka sudah lama membincangkan hal penyenaraian ini dan mungkin sudah lama mereka menerima ‘durian runtuh’.
Mengenai kepentingan para peneroka Felda berhubung penyenaraian FGVH tersebut usahlah dirisaukan memandangkan kawasan-kawasan tanah rancangan Felda merupakan ‘fixed deposit’ undi Barisan Nasional (BN) pada setiap pilihanraya umum (PRU).
Penulis sangat pasti bahawa BN takkan berani untuk menganiaya atau bertindak kejam terhadap pengundi tetap mereka atau mereka akan berhadapan dengan kehilangan undi para peneroka Felda.
Justeru, penulis berharap agar PAS berpolitik secara sihat dan menyokong penyenaraian FGVH itu memandangkan ia jelas memberikan keuntungan jangkamasa pendek dan panjang untuk para peneroka Felda.
Kalau PAS mahu menarik undi peneroka Felda sekali pun, usahlah sampai menafikan ‘durian runtuh’dan kemajuan masa depan rakyat kerana ia akan menyebabkan parti itu semakin dijauhi para pengundi nanti, kan? – Mynewshub.my
Ulasan
Catat Ulasan
Macam-macam kan! Apa Kata Anda?