Azraai Khor puji pasukannya


Azraai Khor memuji persembahan anak didiknya selepas membuktikan kemampuan ketika melakar kemenangan pertama dengan menewaskan Johor FC, 2-0.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan itu menyifatkan kemenangan bukan saja meletakkan kembali skuad Hoben dalam kelompok dihormati, tetapi juga sebagai hadiah sempena keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, kelmarin.

Katanya, dia berpuas hati dengan aksi semua pemain walaupun berdepan cabaran sengit daripada anak didik K Devan yang dibarisi pemain berpengalaman.

"Lebih menarik, persefahaman antara Effa (Jean Emmanuel Effa Owona) dengan Ahmad Shakir Ali di barisan depan mulai menampakkan peningkatan ketara apabila kedua-duanya saling membuat hantaran tepat dan berkualiti untuk melakukan jaringan.

"Komitmen tinggi pemain sayap seperti Shahurain Abu Samah dan S Kunanlan juga banyak membantu bahagian depan untuk melakukan penyudahan lebih berkesan," katanya, semalam.

Menurut Azraai, aksi permainan kelmarin juga menyerlahkan kemampuan beberapa pemain muda, walaupun ramai beranggapan Negeri Sembilan hanya menyandarkan harapan kepada Effa.

"Walaupun berstatus pemain muda, Ahmad Shakir membuktikan dia boleh melaksanakan tanggungjawab dengan menjaringkan kedua-dua gol dan saya berharap kedua-dua penyerang akan terus berusaha menambah jaringan selepas ini," katanya. - Berita Harian

Ulasan