‘Kemalangan tidak boleh dielakkan’



Penunggang Moto GP dari Amerika Syarikat, Colin Edwards menekankan tiada apa boleh dilakukannya untuk mengelak daripada melanggar Marco Simoncelli di Sepang dan menyebabkan penunggang Itali itu terbunuh pada 23 Oktober lalu.

Penunggang Honda berusia 24 tahun itu hilang kawalan dan terbabas ke laluan Edwards dan seorang lagi penunggang Itali, Valentino Rossi beberapa minit selepas perlumbaan di trek Malaysia itu bermula.

Dia mengalami kecederaan parah di kepala, leher dan dada.
“Saya berulang kali bertanya kepada diri sendiri sejak nahas itu. Apa akan terjadi jika saya bertindak sebaliknya? Apakah yang akan berlaku jika saya mengelak? Tapi saya sudah saksikan rakaman kemalangan itu dan saya sedar tiada apa yang boleh saya lakukan untuk mengelak Marco,” kata Edwards yang turut terseliuh bahu berikutan kemalangan itu ketika diwawancara La Gazzetta dello Sport.

“Valentino (Rossi) juga tidak dapat berbuat apa-apa. Sukar untuk kehilangan seorang rakan. Kami kehilangan seorang bintang. Marco disukai semua peminat kerana personaliti, perwatakan dan karismanya,” kata Edwards.

Kematian Simoncelli menyentuh dunia sukan Itali dengan beribu-ribu peminat menghadiri pengebumian di tempat asalnya, Coriano, Rimini, Khamis lalu.

Sumber-AFP

Ulasan