Debaran Sepak Mula Piala Malaysia!!



Esok sepak mula Piala Malaysia. Tidak seperti negara lain, kemuncak bola sepak Malaysia bukan kejuaraan liga tetapi Piala Malaysia, atau dulu Piala HMS Malaya yang diperkenalkan pada 1921 tetapi ditukar nama pada 1967.

Secara ringkas, previu ikut kumpulan.

Kumpulan A (Perak, Kedah, Johor, Sabah)

Daripada empat pasukan ini, hanya Sabah belum bergelar juara Piala Malaysia. Perak berdepan kemungkinan hilang tonggak yang akan dibicarakan pada 7 September atas tuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil. Norizan Bakar dan Wan Jamak Hassan bukan saja bekas jurulatih kebangsaan, bahkan pernah menjulang Piala Malaysia, Cikgu Jan pada 2004 apabila lontaran Adrien Jurad Chamrong gagal didakap Megat Amir Faisal Ibrahim dan Wan Jamak pada 2009 apabila membantu Negeri Sembilan menamatkan penantian 61 tahun. Jadi mereka tahu resipi untuk muncul juara. Johor dalam proses membina semula reputasi manakala Sabah terlalu bergantung kepada Zainizam Marjan.

Ramalan: Kedah dan Perak ke suku akhir
Pemain bakal menonjol: Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Kumpulan B (Terengganu, Negeri Sembilan, PKNS, Sime Darby)

Susah nak ramal kedudukan empat pasukan tetapi selaku juara Piala FA, Terengganu dibuai keyakinan tinggi. Kepantasan adalah kunci taktik Irfan Bakti Abu Salim berteraskan larian tiga serangkai Abdul Manaf Mamat, Hadi Yahaya dan Ashaari Samsuddin, dibantu Joseph Kallang Tie dan Ismail Faruqi Asha'ari. Negeri Sembilan dikendalikan Azraai Khor Abdullah yang tahu nikmat muncul juara tapi tertekan dengan pengurusan yang mahu results, manakala Sime Darby dilihat mampu jadi pakej kejutan biarpun tanpa kehadiran pemain bertaraf bintang.

Ramalan: Terengganu dan Negeri Sembilan ke suku akhir
Pemain bakal menonjol: Abdul Hadi Yahaya (Terengganu)

Kumpulan C (Kelantan, Felda United, Johor FC, Sarawak)
Sekalipun tanpa Khairul Fahmi Che Mat yang tegas mementingkan misi skuad pra-Olimpik, Kelantan memiliki keupayaan melepasi halangan. Ada kekuatan di semua posisi dan daya kreativiti Norshahrul Idlan Talaha kunci melebur kubu lawan. Felda United dan Johor FC bakal berebut tempat kedua, dengan kedua-dua pasukan menyandar harapan kepada pemain veteran untuk mencarta hala tuju. Jika Johor FC bergantung harap kepada Rezal Zambery Yahya dan Eddy Helmi Manan serta Rahman Zabul dan Mat Saiful Mohammad, Felda mengharapkan Liew Kit Kong, Nizaruddin Yusof, Hamsani Ahmad, Kaironnisam Sahabuddin Hussain dan Azi Shahril Azmi untuk menyuntik keyakinan kepada anak buah E. Elavarasan. Sarawak pula mampu cipta sedikit kejutan, memandangkan Robert Alberts, arkitek kemenangan Kedah pada 1993, membimbing Bujang Senang. Bobby Gonzales di depan, Wong Sai Kong di tengah dan lima pertahanan yang kental mungkin formula yang cukup untuk menidakkan Felda atau Johor FC.

Ramalan: Kelantan dan Johor FC ke suku akhir
Pemain bakal menonjol: Norshahrul Idlan Talaha

Kumpulan D (Selangor, T-Team, Kuala Lumpur, PDRM)

Misi menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33 harus memberi tekanan kepada Selangor. K. Devan sudah menang pelbagai gelaran tetapi masih kempunan Piala Malaysia. Tewas bermakna Devan harus ucap selamat tinggal kepada Selangor. T-Team dibarisi bintang lama yang berpegang kepada reputasi silam tapi harus miliki pengalaman mara ke suku akhir setidak-tidaknya. Kuala Lumpur pula berdepan masalah kewangan dan Razip Ismail tiada jalan lain selain berdoa dia masih ada kerja musim depan.

Ramalan: Selangor dan T-Team ke suku akhir
Pemain bakal menonjol: Amirulhadi Zainal

Sumber: Malaysia Sports' Loose cannon



Ulasan