Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang semalam mendapat perhatian ekoran laporan bahawa menjadi fokus pihak berkuasa berhubung isu Wahabi dan terorisme, hari ini menulis warkah sambil meminta polis dapat mempertahankan keadilan sebaik mungkin agar “dibenci” dan “diragui” rakyat.
Bekas mufti Perlis ini berkata bidang tugas dan kuasa “saudara yang menghalang kezaliman itu, jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya.”
“Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya,” kata beliau dalam tulisannya bertajuk “Warkah Buat Saudaraku Anggota Polis”, yang bersifat umum, yang diedarkan kepada media hari ini.
Tulisannya tidak merujuk kepada mana-mana kes khusus.
Mengikut laporan media semalam, Majlis Keselamatan Negara telah memutuskan agar agensi agama negeri dan para mufti memantau pergerakan fahaman Wahabi dan dipercayai boleh menjurus kepada aktiviti pengganas.
Asri  dilaporkan antara nama yang disenaraikan. Turut disenaraikan ialah mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan sekitar 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.
Asri dari dulu menafikan beliau mengamalkan fahaman Wahabi.
Hari ini dalam tulisannya, kata Asri, jika keadaan itu berlaku, maka “rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas.”
“Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui,” kata beliau yang tidak merujuk kepada mana-mana kes secara khusus.
Asri, yang dilihat sebagai tokoh agama progresif, banyak memberikan pandangan peribadinya mengenai isu-isu semasa termasuk yang terbaru mengenai perhimpunan Bersih 2.0 yang berlangsung pada 9 Julai.
Pihak polis diberi tanggungjawab menangani perhimpunan 9 Julai, tetapi tindakan mereka disifatkan sebagai terlalu oleh sesetengah pihak dan mengakibatkan mereka berhadapan kritikan dan kecaman.
Pentadbiran Najib mempertahankan tindakan polis.
Asri antara lain berpandangan bahawa rakyat harus diberikan kebebasan bersuara dan berhimpun.
Dalam tulisannya hari ini, Asri juga berkata pasukan polis boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab di hadapan Allah.
“Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat.
“Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara,” kata ahli akademik ini.
“Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: ‘Benar adalah amanah, bohong adalah khianat’. Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia,” kata Asri lagi sambil menyifatkan tulisan ini sebagai “pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya.”
Katanya, tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak di mana rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua.
“Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil. Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara.
“Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara,” katanya lagi.
Asri seterusnya berkata tiada siapa yang dapat menyelamatkan dirinya daripada hukuman Tuhan.
Kata beliau, seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya atau si mangsa juga mungkin terlupa ataupun pergi menemui Ilahi terlebih dahulu.
“Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa.
“Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya ‘apakah salah saya?’. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana,” kata beliau lagi.
Sambil menarik perhatian bahawa dunia ini sementara, kata Asri, setiap “kita akan ada hari akhirnya.”
“Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan. Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Macam-macam kan! Apa Kata Anda?