CUEPACS mahu bincang pelarasan gaji dengan PM


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bercadang untuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan soal pelarasan gaji bagi kira-kira 1.3 juta kakitangan awam di negara ini.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri selepas mesyuarat kongres pada 26 dan 27 Mei di Lumut, Perak.
"Selepas mesyuarat kongres, kita akan membuat permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Dialog Cadangan Penilaian Baru Kompetensi Menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.
Katanya, selain soal pelarasan gaji, kongres juga bercadang berbincang dengan kerajaan mengenai soal bantuan sara hidup (COLA) dan elaun tetap perumahan. — Bernama

Ulasan