SPRM DI HENTAM KIRI DAN KANAN! INI SERIUS!


Pada saat dan ketika ini, semua orang menuding jari ke arah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di atas apa yang sedang melanda agensi itu.
Kematian kedua yang berlaku ke atas saksi di premis SPRM adalah ibarat malang yang tidak berbau. Ia adalah satu tragedi yang sudah pastinya tidak dipinta oleh SPRM sendiri. Malah tragedi ini terjadi pada detik SPRM dan agensi-agensi penguatkuasaan serta pencegahan yang lain sedang melakukan tugas yang sangat cemerlang dalam membersihkan negara kita dari gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.


Pada saat dan ketika kita perlu mengucapkan syabas dan tahniah kepada SPRM, sebaliknya, kita mengecam dan menyalahkan SPRM di atas apa yang terjadi di premis agensi itu...malang sungguh nasib SPRM. Malah ada orang menyindir dengan kata-kata SPRM kena pergi mandi bunga buang “badi” dan “unsur-unsur negatif” yang ada pada badan agensi itu. Namun itu semua adalah perkara mengarut.


Yang harus kita semua lakukan dan berikan ialah kata-kata semangat supaya SPRM tidak lemah semangat dan tidak putus asa dalam usaha mereka membanteras rasuah dalam negara kita. Ini semua adalah dugaan kepada SPRM. Masa mereka bergelar Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak berlaku insiden-insiden pelik pun sepertimana yang terjadi sekarang. Mungkin kalau ada pun kita tidak tahu kerana pada masa itu BPR berfungsi boleh dikatakan di dalam keterasingan (isolation).Tetapi kini wajah BPR telah berubah kepada sebuah agensi yang lebih besar dan penting sepenting namanya sekarang iaitu sebuah suruhanjaya.


Maka tidak hairanlah segala tindak tanduknya lebih berprofil tinggi. Bila dah berprofil tinggi, ia menjadi perhatian dan pemerhatian awam.
Pada premis yang mana pejabat SPRM terletak di tingkat atas, langkah meletakkan kamera litar tertutup mestilah diwajibkan. Semua pihak sekarang tidak puas hati dengan kejadian yang berlaku di premis SPRM. Semua orang mendesak untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Semua orang inginkan jawapan.


Tetapi terimalah hakikat bahawa kita tidak mungkin akan memperolehi jawapan yang hakiki kerana tidak ada siapapun yang menyaksikan kejadian pegawai kastam itu terjatuh dari tingkat tiga bangunan berkenaan.


Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui kejadian sebenar. Yang kita harus tentukan sekarang ialah janganlah sampai tragedi malang yang berlaku di SPRM itu mengalih perhatian dan penumpuan sebenar kita ke atas usaha memerangi rasuah. Kerana itulah musuh kita yang sebenarnya.


Ulasan

Catat Ulasan

Macam-macam kan! Apa Kata Anda?