Genap 19 Tahun Pemergian Allahyarham Sudirman Hj Arshad.


Hari ini 22 Februari 2011 genap 19 tahun pemergian penghibur No 1 negara Datuk Sudirman Hj Arshad.Beliau yang lahir pada 25 Mei 1954 merupakan salah seorang penyanyi terkenal di Malaysia. Beliau telah dinobatkan sebagai Penghibur Nombor 1 Asia dari Malaysia sebelum Siti Nurhaliza. Anak jati Pahang pertama memenangi Anugerah Penyanyi Asia tahun 1989 di London. Lelaki kacak ini telah diberi jolokan sebagai Penghibur Milik Masyarakat, Seniman Rakyat dan Elvis Malaysia. Beliau adalah penyanyi, penghibur, penggubah, peguam, penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan, dan pelakon.Selain itu, beliau telah melahirkan sebanyak 168 buah lagu.

 

Album

Selepas Bintang RTM, tahun 1977, Sudirman mula merakamkan suara dalam album EP sulungnya Teriring Doa bersama Warnada Rekod. Walaupun ketika itu sibuk dengan kuliahnya di Universiti Malaya, beliau sempat merakam lagu-lagu untuk dimuatkan dalam EP pertamanya, diantaranya lagu Teriring Doa dan Suratku Yang Ini.
Tahun 1978, EMI menawarkan kontrak kepada Sudirman. Album sulungnya dengan EMI berjudul Aku Penghiburmu. Beliau menyanyikan semula lagu Jali Jali yang telah memperkenalkannya kepada umum, termasuk dua lagu ciptaan Ahmad Nawab Aku Penghiburmu dan Kasih. Kedua-dua lagu ini juga dinyanyikan oleh Broery Marantika apabila Ahmad Nawab berhijrah ke WEA. Dalam tahun itu, Sudirman dipilih sebagai Penghibur TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa.
Tahun 1979, album Perasaan diterbitkan dengan lagu hit Gerimis di Lautan bersama lagu-lagu lucu Mat Disko dan Toyol.
Setelah menamatkan pengajiannya, Sudirman bebas mengembangkan karier seninya. Beliau yang bangga dengan imej budak kampung, menyanyikan lagu-lagu yang berkait rapat dengan masyarakat Malaysian.
Istimewanya Sudirman kerana bermula tahun 1980, beliau telah menerbitkan 2 buah album dalam setahun. Kesemua albumnya berjaya dan kebanyakkan lagu-lagunya menjadi hit. Tidak semua artis pada zaman Sudirman dan zaman sekarang mampu berbuat demikian.

Konsert di Chow Kit Road
 

Pada 15 April 1986, Sudirman menempa nama di dalam Malaysia Book Of Records setelah mengadakan konsert gergasi percumanya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Beliau telah berjaya memikat dan memukau hampir 100 ribu warga kota berpusu-pusu membanjiri jalan itu dengan kehebatannya. Lagu yang dinyanyikan oleh beliau ialah Chow Kit Road dan diakhiri dengan lagu patriotik Abadi sambil beliau memakai bendera Malaysian.
Jalan Chow Kit pada era Sudirman adalah gelanggang marhaen. Chow Kit menjadi simbol orang-orang kerdil yang juga peminat Sudirman. Maka konsert jalanan secara percuma adalah sebagai tanda terima kasih kepada para peminatnya yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel dan dewan konsert, sekaligus memberitahu kita Sudirman bukan materialistik.


Penghibur Terbaik Asia
 
Pada 19 Mac 1989, Sudirman telah dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia di "Asian Popular Music Awards". Acara anugerah ini diadakan bersama-sama dengan Salem Music Awards Festival yang berlangsung di Dewan Royal Albert, London. Beliau merupakan penyanyi pertama Malaysia yang memenangi anugerah tersebut. Sudirman telah mengalahkan 8 orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong Kong (Leslie Cheung), Filipina (Kuh Ledesma), Singapura (Anita Sarawak), China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Thailand. Dalam pertandingan tersebut beliau telah menyanyikan dua buah lagu Inggeris One Thousand Million Smiles dan Send In The Clown dengan menggayakan aksi lucu ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan yang membolehkan beliau mengalahkan wakil-wakil negara lain yang lebih hebat popularitinya.
Lagu One Thousand Smiles dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di Eropah. Proses rakaman lagu itu dibuat di Abbey Road Studio, tempat rakaman album bagi penyanyi megastars seperti The Beatles. Lagu ini dipilih sebagai lagu tema Malaysia semasa Hari Bangsa-Bangsa Bersatu.


Kematian

17hb Julai 1991, Sudirman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Tawakkal Kuala Lumpur selama 4 hari. Dilaporkan beliau telah pengsan setelah terjatuh. Selama 7 bulan beliau terlantar sakit, keluarga rapatnya merahsiakan punca penyakit dan lokasi di mana Sudirman dirawat. Dalam tempoh itu, dia tidak ke mana-mana kecuali ke rumah kakaknya di Butterworth selama seminggu.
"Dia mahu peminat-peminatnya melihat dia sihat, ceria, penghibur yang hebat, sebagai hero di pentas. Sememangnya dia tidak mahu meninggalkan kenangan yang teramat sedih di hati peminat setelah melihat dia terlantar sakit dan meninggal dunia," begitu penjelasan kakak Sudirman, Rudiah apabila ditanya apakah Sudirman sendiri yang tidak mahu orang lain melihat dia sakit selain adik-beradiknya.
Pada 22 Februari 1992 (bersamaan 18 Syaaban 1412), hari Sabtu jam 4:00 pagi, ketika berusia 37 tahun, Sudirman Hj Arshad telah kembali ke Rahmatullah di rumah kakaknya Rudiah bt. Hj. Arshad di alamat No.16, Jalan Taban Satu, Lucky Garden, Bangsar Park, Kuala Lumpur setelah 7 bulan menghidap penyakit radang paru-paru (pneumonia). Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Chengal, Temerloh pada hari yang sama, jam 3:45 petang - di sebelah pusara orang tuanya. Ribuan peminat-peminat setia termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu Dr. Mahathir Mohamad telah menziarahi jenazah Allahyarham yang dianggap sebagai satu kehilangan besar bagi dunia hiburan tanah air.

Al-Fatihah.. Semoga Allah Mencucuri Rahmat Ke Atas Roh Allahyarham Dan Di Tempatkan Di Kalangan Orang-orang Yang Beriman.  Amin..

Ulasan