Memang berbaloi??

Penyokong Liverpool kini boleh melupakan penghijrahan Fernando Torres ke Chelsea.
Penggantinya, David Suarez sudah membuktikan
kehadirannya di Anfield adalah berbaloi dan dia mampu
menjalankan tugas yang ditinggalkan oleh Torres itu dengan baik.
Belum pun sampai 24 jam bertapak di ‘kampung’ barunya itu, dia sudah mencipta nama.
Ketika dimasukkan sebagai pemain gantian di separuh masa kedua pada aksi menentang Stoke City kelmarin, pemain yang baru dibeli dari Ajax Amsterdam itu terus mencatat nama sebagai penjaring bagi menghadiahkan kemenangan 2-0 kepada Liverpool.
Suarez menjaringkan gol kedua pada minit ke-79 selepas Raul Meireles membuka jaringan buat Liverpool pada minit ke-47.
Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish percaya Suarez
mampu memberikan impak yang besar kepada skuad
kendaliannya itu dalam baki saingan Liga Perdana England musim ini.
Jaringan yang dilakukan Suarez itu sekali gus menebus kekecewaan yang dialami penyokong-penyokong skuad The Reds selepas bintang sensasi mereka, Fernando Torres berhijrah ke Chelsea.
Ternyata, nilai yang dibayar Liverpool berjumlah £22.6 juta (RM111.493 juta) untuk membawa masuk Suarez
dari Ajax Amsterdam, Isnin lalu benar-benar berbaloi apabila dia kini dianggap sebagai wira baru mereka.
Ekoran prestasi konsisten yang dipamerkan Suarez itu, dia dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama The Reds pada aksi pertemuan menentang Chelsea, Ahad ini.
Malah, Dalglish yakin penyerang antarabangsa Uruguay itu mampu sesuaikan diri dengan corak permainan di England dengan baik.
“Dia mendapat permit bekerja pada Selasa lalu dan hari ini (awal pagi semalam) dia terus beraksi dalam pasukan. Wajahnya cukup ceria sebaik berhijrah ke sini (Anfield), dan saya berharap dia dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan kami,” jelas Dalglish. – AFP

Ulasan