REVIEW FILEM: Paranormal Activity 2

JIKA filem pertama pernah mencetuskan fenomena disebabkan ketakutan yang melampau, tunggu sehingga anda menonton filem susulannya, Paranormal Activity 2, yang mula ditayangkan kepada umum pada 6 Januari lalu. Kejutan demi kejutan menanti penggemar filem seram yang menggunakan format berbeza ini. 

Tidak dinafikan pengolahan cerita serta gerak kerja kamera dalam filem ini membuatkan Paranormal Activity 2 layak untuk dinobat sebagai filem seram terbaik pernah dihasilkan sejak akhir-akhir ini. Babak mesin pembersih kolam bergerak sendiri serta babak isteri Daniel, Kristi, dirasuk roh jahat memberi kesan kepada penonton kerana ia dilakukan dengan penuh teliti.

Tidak lupa juga adegan Kristi dan bayinya, Hunter, ditarik oleh entiti yang tidak kelihatan membuatkan bulu roma meremang kerana ia digambarkan dengan begitu realistik sekali, walaupun ia sebenarnya tidak banyak beza dengan apa yang pernah disajikan dalam filem pertama dulu.

Wujud banyak babak menarik yang mampu membuat penonton menjerit dan hanya mahu menontonnya di celah-celah jari. Itulah kesannya apabila penonton tidak ditunjukkan rupa bentuk roh jahat yang mengacau kehidupan, berbanding filem seram lain yang menampakkan imej hantu, yang cukup stereotaip.
Untuk filem seperti ini, apa yang penting ialah kesempurnaan suntingan. Secara keseluruhan, filem ini disunting begitu baik sekali kerana jalinan antara satu plot ke satu plot yang lain jelas kelihatan dan ia pula mudah difahami.

Meskipun ada unsur pengulangan visual terutama paparan kolam renang, namun ia sebenarnya dilakukan bersebab. Wujud kaitan yang kuat antara kejadian aneh yang berlaku di rumah itu dengan kolam berkenaan.

Seperti yang digunakan sebuah iklan, barangan baik tidak perlu kata-kata indah. Apa yang boleh dikatakan, filem ini cukup berbaloi untuk ditonton. Secara perlahan-lahan, babak seram dalam filem ini mampu merasuk fikiran sehingga kita masih terbayang-bayangkan ketakutan itu walaupun sudah berada di luar panggung. Selamat menjerit!
  • Judul: Paranormal Activity 2
  • Pengarah: Tod Williams
  • Pelakon: Brian Boland, Katie Featherston, Micah Sloat, Sprague Gryaden, Molly Ephraim dan Seth Ginsberg
  • Penulis: Michael R Perry, Christopher B Landon
  • Genre: Seram, Thriller, Misteri
  • Durasi: 91 minit
  • Tayangan: Mulai 6 Januari 2011

Ulasan