Aidil kembali dalam skuad Harimau Malaya

BEKAS ketua pasukan kebangsaan, Aidil Zafuan Radzak kembali dipanggil K. Rajagobal untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 9 Februari depan.
Selain Aidil, jurulatih kebangsaan itu turut memanggil enam lagi pemain yang tidak beraksi pada Piala Suzuki AFF 2010 iaitu Farizal Marlias, Ahmad Fakri Saarani, Azmi Muslim, S. Chanthuru, G. Mahathevan dan Shahrizal Saad.
Menurut senarai yang dikeluarkan di laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu semalam, hanya 17 daripada 22 pemain skuad yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 bulan lalu disenaraikan Rajagobal untuk latihan pusat kali ini.
Lima pemain yang tidak terpilih ialah Amri Yahyah, Razman Roslan (Selangor), Khyril Muhymeen Zambri, Faizal Abu Bakar dan Khairul Helmi Johari (Kedah).
24 pelatih bagi kem latihan kali ini akan mula menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 2 Februari depan, sehari selepas mereka beraksi untuk perlawanan kedua Liga Super 2011 bersama kelab masing-masing.
Aidil mengalami kecederaan lutut ketika beraksi untuk Negeri Sembilan pada final Piala Malaysia 2010 yang menyebabkan dia terpaksa diketepikan Rajagobal untuk Sukan Asia 2010 dan Piala Suzuki AFF 2010.
Persoalan kini timbul sama ada tugas kapten yang diambil alih Safiq Rahim pada dua kejohanan tersebut akan diserahkan semula kepada Aidil atau terus menjadi milik pemain tengah Selangor itu.

Ulasan